About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Saturday, November 21, 2015

Feed The Homeless di Kuantan oleh Kindness Pahang



Projek08-Gelandangan-Feed The Homeless 
Tempat : Kuantan, Pahang
Masa : 11 malam 
Tarikh : 14/11/2015 (Sabtu)

Ini adalah projek pertama Kindness Pahang, menyantuni gelandangan sekitar Kuantan, Pahang. Sepanjang perjalanan ke lokasi, kami agak risau kerana hujan sangat lebat. Berdebar-debar apakah keadaan yang akan kami lalui nanti. Tepat pukul 11.05 malam, kami tiba di lokasi perhimpunan iaitu di Taman Kerang, Kuantan.

Setibanya di situ, kami telah dibantu oleh para sukarelawan Kindness Pahang dan sukarelawan perseorangan yang telah turut serta terus membungkus barang-barang makanan hasil sumbangan para dermawan yang sangat bermurah hati. Dalam satu bungkusan terdapat air kotak, air mineral, nasi goreng, roti dan buah. Alhamdulillah kami dapat mengumpulkan sebanyak 60 pek makanan.

taklimat do and dont sebelum memulakan misi Feed The Homeless

Memandangkan projek kali ini melibatkan ramai ahli, kami membahagikan kepada 3 kumpulan untuk bergerak kerana golongan gelandangan juga berselerakan di sekitar Kuantan ini. Satu kumpulan pergi ke kawasan Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), satu kumpulan ke Kuantan Plaza dan sekumpulan lagi ke Pasar Besar Kuantan.

Sesi pengagihan bermula jam 12.05 pagi dan berakhir lebih kurang jam 1.10 pagi. Pelbagai rasa kami lalui sepanjang pengagihan tersebut. Sebelum terlibat dengan projek ini, tidak pernah pula terfikir keadaan gelandangan ini. Tetapi apabila melihat dengan dekat, betapa sayunya hati. Terasa betapa lambatnya kami mendidik diri dalam melakukan kebaikan ini.

Melihat mereka serba kekurangan, tidur malam berbumbungkan langit hitam pekat, beralaskan lantai sejuk, keras, kotor, berair berbanding kita beralaskan tilam bersih malah empuk. Berbantalkan lengan, simpulan baju lusuh, lipatan kotak buangan berbanding kita bantal 2, 3 biji untuk keselesaan teramat. Tiada baju persalinan berbanding kita yang lebih dari 1 almari baju dengan pelbagai pilihan. Tiada bekalan makanan berbanding kita yang makanan sangat berlebihan hingga dibuang begitu sahaja.

Lokasi berkumpul di Taman Kerang, Kuantan
Adakah mereka meminta untuk menjadi seperti itu? Tentu sekali lah tidak. Mereka juga mengimpikan segalanya yang baik sebagaimna kita. Tetapi sekarang masanya mereka diuji. Tanpa sedar kita juga sebenarnya diuji. Diuji apakah kita ada rasa peduli insan yang lebih susah berbanding kita, diuji adakah kita sentiasa mendongak ke langit tanpa memandang rumput di bawah, diuji ikhlas kah kita jika kita memberi pun hanya untuk segelintir golongan tertentu, diuji adakah masih ada sifat belas kasihan di dalam hati sanubari kita.

Paling menyentuh hati adalah ketika kami terserempak dengan sekumpulan kanak kanak yang bermain kegembiraan di lorong gelap. Sedihnya melihat keadaan begitu. Tentu sekali kita tidak mahu anak kita bermain di tempat sedemikian. Tetapi mereka masih melemparkan senyuman manis ketika kami mendekati mereka.

Ada yang semasa memberi bungkusan makanan, mereka terus membuka dan makan tanpa melihat kiri kanan mungkin kerana sangat lapar. Sambil mempelawa kami roti yang terdapat juga dalam bungkusan itu. Terkedu seketika di mana mereka hanya ada bekalan itu tetapi masih ingin berkongsi, berbanding kita yang masih berkira kira dalam memberi.

Ada juga situasi ketika salah seorang daripada mereka menceritakan kisah yang membuatkan kami terdiam berfikir. Katanya dia pernah menyertai program gelandangan ini suatu ketika dahulu, tetapi sekarang sudah tiada di Kuantan, tetapi malam  ini dia sangat terharu kerana adanya lagi program sebegini. Dan sekarang dia salah seorang yang menerima sumbangan pula.

gelandangan di Kuantan tidak seramai di Kuala Lumpur
Setelah selesai proses pengagihan, kami berkumpul semua di tempat permulaan untuk rumusan tentang program gelandangan ini. Terlalu banyak situasi yang menginsafkan kami sepanjang program tersebut dijalankan. Kesedaran ini tidak terjumpa di mana mana. Tidak perlu cerita yang panjang lebar untuk khabaran penginsafan, hanya paparan kehidupan yang berbicara kesemuanya.

Kami sangat berterima kasih atas segala sumbangan dari semua insan yang sangat bermurah hati menaja makanan dan tidak lupa juga kepada semua sukarelawan yang hadir untuk turut serta terlibat dalam program ini. Sungguh tidak kami menyangka terlalu ramai yang ingin berkongsi nikmat bersama sama gelandangan ini. Semoga usaha yang sedikit ini dikira dan dilihat olehNya. In shaa Allah kami akan  merancang lagi aktiviti seperti ini di lain masa, di lain ketika. Semoga mereka terus tabah dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini.

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator Kindness Pahang
Kindness Malaysia

2 comments:

Tumpang tanya, bagaimana saya bole berhubung dgn program manager ye ? Anyway saya regular volunteer soup kitchen di kl, bekerja bersama PERTIWI. Skrg ni saya belajar di uia kuantan. Saya igt saya nk mulakam gerakan di sini juga.

Tumpang tanya, bagaimana saya bole berhubung dgn program manager ye ? Anyway saya regular volunteer soup kitchen di kl, bekerja bersama PERTIWI. Skrg ni saya belajar di uia kuantan. Saya igt saya nk mulakam gerakan di sini juga.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...