About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, December 30, 2015

Projek Tiket Oleh Kindness Malaysia


Saban hari saya memikirkan aktiviti kebaikan yang dapat beri inspirasi kepada orang ramai untuk terus lakukan kebaikan. Suatu ketika semasa melayari laman sosial Facebook, saya terlihat satu posting dimana seorang pelajar yang tidak cukup beberapa sen untuk pulang ke kampung tidak dapat membeli tiket bas. Walaupun sudah merayu di kaunter tiket, namun tidak juga berjaya. Di sini timbulnya ilham untuk lakukan projek tiket.

Modus operandi projek tiket agak mudah. Kita kenal pasti individu atau keluarga yang ingin balik kampung dengan ikut mereka beratur di kaunter tiket, kemudian apabila dapat tahu harga tiket, kami terus bayarkan harga tiket tersebut. Reaksi yang kami terima itu yang tidak ternilai. Selepas kami muat naik video pendek di laman Facebook Kindness Malaysia, ramai juga rakan-rakan saya yang bertanya, dimana dapat dana untuk lakukan projek ini? Jawapan saya mudah sahaja. Setiap sukarelawan yang aktif dengan Kindness Malaysia akan mempunyai poket kindness mereka sendiri. Duit yang terkumpul dari poket kindness ini digunakan untuk projek tiket. Beberapa orang sukarelawan mengeluarkan duit dari poket kindness masing-masing. 

barisan sukarelawan Kindness Malaysia


Anggaran duit yang terkumpul dalam RM500 dari poket kindness sukarelawan yang hadir. Jumlah penerima lebih kurang 8 individu dan juga 2 keluarga. Objektif projek tiket ini sejajar dengan misi penubuhan Kindness Malaysia iaitu untuk memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun. Projek tiket ini tidak dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan beban hidup, tetapi untuk menerapkan sifat baik hati yang kini semakin terhakis di kalangan rakyat Malaysia kerana tekanan hidup terutama sekali terkesan dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Apabila orang ramai semakin positif, maka Malaysia boleh jadi lebih muhibah dan secara langsung ikatan keluarga dan masyarakat lebih harmoni.

Dari video pendek yang dimuat naik telah diakses lebih setengah juta netizen dan telah menjadi viral di Facebook. Kami di Kindness Malaysia amat berharap dengan misi kami ini dapat menggalakkan orang ramai untuk terus positif, dan selalu ingin lakukan kebaikan. Untuk lakukan kebaikan ini tidak semestinya dengan menggunakan wang ringgit atau masa. Senyuman kepada orang sekeliling juga merupakan satu kebaikan yang dapat memberi impak yang positif.

Kindness Malaysia mengalu-alukan orang ramai untuk terus menerus melakukan kebaikan dan boleh dimulakan dengan orang yang terdekat seperti keluarga dan rakan pejabat. Pada yang berminat untuk turut serta aktiviti Kindness Malaysia, boleh like laman Facebook Kindness Malaysia di www.facebook.com/kindness.my atau request  Group Volunteers Kindness Malaysia. Dan bagi yang berminat untuk menyumbang, boleh salurkan ke akaun Maybank 514057664892 atas nama Kindness Dot My. Email di support@kindness.my



Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
0183800961


Sekotak Kismis



Zayn melangkah keluar dari pintu keluar Sogo dalam keadaan lemah longlai. Bukan kerana badannya letih seharian dek longgokan kerja di pejabat tetapi kerana memikirkan pelbagai masalah yang seakan-akan menghempap kepalanya tiada henti.  Terbayangkan wajah tua ibunya di kampung keseorangan yang semakin hari semakin tenat akan sakit tua. Kos perubatan sangat tinggi amat merungsingkan.

“Allah, mana aku nak cari duit ni”, keluh hati Zayn. Badannya seakan tiada daya, lalu terduduk di tangga hadapan pusat membeli-belah itu yang padat dengan manusia. Bukan namannya Kuala Lumpur jika tidak sesak setiap hari. 

Mukanya ditekup sambil mencengkam rambutnya yang agak panjang  paras bahu. Mahu sahaja dia mengalirkan air mata yang bertakung sedari tadi. Memikirkan ego lelakinya, tangisan itu ditahan. Masih terngiang-ngiang teriakan marah kawan serumahnya pagi tadi kerana sewa rumah sudah tertangguh dua bulan. Mujur kawannya masih membenarkan dia berteduh di apartmen sempit itu.

“Assalamualaikum, maaf mengganggu. Ini ada kismis percuma sempena Maulidur Rasul”, satu suara yang tidak dikenali menyapa lembut. Lelaki muda berbaju hitam dipadankan dengan seluar polos putih menghulurkan kotak kecil biru kepadanya. Perlahan-lahan pandangan Zayn dipalingkan kepada lelaki itu, risau jika dia dapat mengesan raut wajahnya yang penuh kekusutan. 

Dalam keadaan teragak-agak Zayn menyambut pemberian itu. “Abang, saya bukan nak menyebuk. Tapi apa pon masalah abang, Allah sentiasa ada. Terima kasih. Hava a nice day!”, lelaki itu menapak pergi dengan senyuman. Pemergiannya meninggalkan ketenangan walaupun sekecil cuma tetapi terkesan sekali. Tanpa disedari air mata jantannya gugur jua dia atas kotak itu.

“Ya benar, apalah sangat ujian hidupku ini dibandingkan dengan penentangan yang Rasulullah terima demi menyebarkan dakwah. Culas sekali aku dalam solat tetapi masih mengharapkan pertolonganNya. Ampunkan aku Ya Allah.”, Zayn bermonolog sendirian sambil melihat lelaki tadi memberikan kismis pada orang lain yang lalu lalang di situ. Ada juga yang menolak pemberiannya, ada juga menerima dengan kegembiraan.

 Sepasang matanya tertumpu pada kata-kata di kotak itu. ‘There is reward for kindness to every living thing’

“Moga Allah merahmatimu dik”, bisik hati Zayn lalu menuju ke surau di KTM Bank Negara.

Nur Afini Dini Senan 
University of Queensland 
Sukarelawan
Kindness Malaysia

Projek Baginda di Kuantan Disambut Dengan Senyuman



Khamis 24.12.2015 bersamaan 12 Rabiulawal 1437.

Alhamdulillah, cantik sungguh permandangan pagi ini. Selawat dan Salam bergema memuji Rasulullah SAW, kekasih Allah. Hari ini sangat bermakna bagi kami. Terasa seronoknya lain macam.
Projek Baginda adalah projek tahunan daripada team Kindness Malaysia. Dan kami dari team Kindness Pahang tidak terkecuali untuk melaksanakan projek yang bagi kami sangat istimewa ini.

Kenapa ye sangat istimewa? Sangat istimewa adalah kerana idola kita, Nabi Muhammad SAW adalah idola kebaikan terhebat sepanjang zaman. Sepatutnya setiap daripada kita harus memperingati segala kebaikan baginda dan menjadikannya sumber inspirasi untuk kita menyebarkan juga kebaikan sesama manusia. 
Projek Baginda ini telah diadakan di Kuantan, Pahang di Persekitaran Malay Town, Stadium Darul Makmur dan Masjid Tepian Putra bermula pada pukul 10 pagi. Tempat perjumpaan dan berkumpul adalah di restoran D'Osiss. Terima kasih kepada pemilik restoran yang turut sama menaja air untuk para sukarelawan kami.

pemberian kismis kepada orang ramai

pelbagai reaksi yang diterima daripada orang ramai
Pada Projek Baginda ini, kami mengedarkan 1000 pek kismis kepada orang ramai di sekitar Kuantan Square dan Stadium Darul Makmur pada sebelah pagi. Manakala 100 pek yasin dan tasbih diedarkan kepada para jemaah di Masjid Tepian Putra selepas solat zohor.Alhamdulillah, projek berjalan lancar dan kami sangat teruja walaupun jumlah sukarelawan yang terlibat hanyalah 10 orang.

Reaksi penerima juga berbeza beza sepertimana projek projek lain. Ada yang teruja, suka, terkejut malah tidak terkecuali yang menganggap kami adalah penjual barangan. Ketika proses pemberian kismis, bermacam perasaan juga yang dirasa oleh para sukarelawan ini. Tetapi apabila dikenang semula, ianya menjadi pengalaman yang paling bermakna bagi mereka. Walaupun kadang tersinggung kerana ada juga yang baru pertama kali, tetapi tetap senyum apabila bercerita ringkas tentang pengalaman memberi.

pekerja am juga turut menerima sumbangan kismis

Apa yang pasti, senyuman penerima membuatkan sukarelawan ini tidak rasa kepenatan walaupun sanggup berjalan di bawah terik mentari semata-mata ingin berkongsi nikmat kebaikan ini. Sesuatu yang sukar digambarkan. Pengalaman sangat mengajar apa itu erti kepuasan.

Tanpa diduga dan tidak pernah terlintas difikiran apabila ada sekeluarga telah datang kepada kami dengan sejumlah air kocak yang sedap. "Kenapa beri kepada kami?!" Spontan. Itu soalan pertama yang keluar dari saya. Bila mengingatkan semula peristiwa itu membuatkan saya ketawa seorang diri.  "Ini amanah seseorang dari kejauhan dan dia ingin belanja kakak dan abang yang berbuat kebaikan ni. Jika kakak dan abang gembirakan orang lain, dia juga ingin gembira pula abang dan kakak ini" itu jawapan nya. Oh! Alangkah nikmatnya ketika itu. Rezeki sedang berbalik kepada kami. Menunjukkan betapa ajaibnya kebaikan. Terima kasih kepada adik yang baik hati ini. 

barisan sukarelawan Kindness Pahang
Selesai pemberian kismis, kami edarkan pula pek yasin dan tasbih kepada jemaah Masjid Tepian Putra. Projek berakhir pada pukul 2.30 petang dengan 1001 pengalaman kegembiraan yang hanya dilalui oleh sukarelawan sendiri. Sangat banyak senyuman indah yang terukir menyebabkan kami makin bersemangat dalam kerja-kerja kebaikan ini.

Semoga selepas ini semakin ramai yang mendapat inspirasi dan meluaskan kuasa kebaikan sesama insan. Kalau ada sumur di ladang, bolehlah kami menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang bolehlah kita buat Projek Baginda lagi!!

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator
Kindness Pahang

Tuesday, December 29, 2015

Baginda Project in Kemaman Terengganu



Alhamdulillah, praise be to Allah for making Projek Baginda 2015 a huge success. This annual event is held every 12 Rabiulawal to commemorate Kindness Icon, i.e Nabi Muhammad S.A.W. Besides Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Perlis, and Johor, Kindness Terengganu (KT) also participated in this year’s event, where we gave away boxes of raisins to the public, sponsored by Rural Transformation Centre (RTC), Johor.

Projek Baginda Terengganu edition took place in Mesra Mall, Kemaman, Terengganu. The volunteers gathered at 12 p.m. and were given a short brief by the person in charge ensure the event ran smoothly. Although there were only three volunteers (as some were on leave and working), we managed to achieve the objective of the programme.

among the recipients

most of them are happy to receive it

We could see a lot of reactions from the crowds when we were handing over the goodies. Some thought we were selling stuffs, but when we explained the aim of the event, they happily accepted it. There were also times where our volunteers were asked about the event and Kindness itself. Those questions came from people from all walks of life. That was the beauty of it.

raisins for everyone

Due to the tremendous responses, our giveaway ended just before Zuhr prayer. We had a short chat during refreshments and shared each other’s stories. Everyone was happy and looked forward for the upcoming events. 

One volunteer stated that when she handed the raisins to some non-Muslims, she felt overjoyed when the non-Muslims thanked and seemed interested with the programme. Plus, the experience as a volunteer gave her memorable and unique feelings, despite it was simply giving away goodies. This proves that this event not only affected the crowds, but it also gave positive effects to the volunteers, which achieved another objective of Projek Baginda. 

We would like to thank everyone who involved in this Projek Baginda. May Allah bless our years ahead with barakah
and aafiyah. Aamiin.

“Spread the goodness. Share acts of kindness”

Nur Syazwani Halim
Coordinator
Kindness Terengganu 

Madu dan Kismis untuk Projek Baginda di Perak



Pada 24 Disember 2015, hari Khamis Kindness Malaysia (Perak) telah menjalankan projek yang kedua iaitu Projek Baginda. Projek ini diadakan bersempena Hari Maulidurrasul, iaitu sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad ﷺ, tokoh Kindness sepanjang zaman. Projek kali ini telah diadakan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) Ipoh, Perak. Seramai  20 orang sukarelawan menyertai projek ini dengan memberikan sebanyak 200 kotak kismis dan 200 stik madu yang telah ditaja oleh para dermawan. Projek bermula pada pukul 3 petang dengan taklimat dan pengenalan mengenai Kindness Malaysia. Penerangan mengenai Projek Baginda yang diadakan kepada semua sukarelawan supaya faham tujuan projek ini dijalankan. Para sukarelawan dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan proses pemberian kismis dan madu kepada orang ramai.


sesi taklimat pada sukarelawan

terima dengan senyuman

Reaksi penerima kismis dan madu antaranya mereka terkejut kerana dapat percuma tanpa perlu bayar dan bertanya mengenai kindness. Ini adalah pertama kali Kindess Malaysia (Perak) mengadakan program di kawasan taman ini (Padang Polo). Para penerima masih lagi teragak-agak untuk menerima, setelah diterangkan tujuan dan mengenai Kindness Malaysia barulah mereka terima kismis dan madu dengan senyuman yang lebar.

antara pengunjung taman yang terkejut menerima madu dan kismis

Opah tanya berapa ringgit nak bayar ni, percuma je opah.. =)

Kismis diberi kepada semua orang tanpa mengira agama

Pak cik jual ais krim pun dapat kismis dan madu 
Jutaan terima kasih kepada penaja kismis dan madu bagi menjayakan Projek Baginda di negeri Perak. Semoga rezeki yang sedikit ini mendapat rahmat dan berkat daripada Allah. Semoga orang ramai yang menerima dapat menyebarkan kebaikan kepada mereka yang lain di luar sana tanpa mengira umur, agama dan bangsa.

Fatin Amira Nabila binti Tauran
Projek Koordinator (Perak)
Kindness Malaysia

Monday, December 28, 2015

Projek Baginda Meriah Di Alor Setar, Kedah



Bismillah al Rahman al Rahim. Segala puji serta selawat dan salam keatas junjungnan besar Nabi Muhammad s.a.w. Tanggal 12 Rabiulawal 1437H (24 Disember 2015) yang lalu, Kindness Malaysia sekali lagi menganjurkan satu program khas semperna hari ulangtahun kelahiran kekasih Allah iaitu Baginda Nabi Muhammad bin Abdullah s.a.w yang dinamakan sebagai Projek Baginda.

Seperti tahun-tahun yang lalu, Projek Baginda yang dijalankan serentak diseluruh negara ini adalah bertujuan meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan cara tersendiri bagi memupuk kecintaan kepada baginda s.a.w serta mencontohi sifat-sifat dan akhlak terpuji Baginda s.a.w. Antara negeri-negeri yang turut sama menjalankan Projek Baginda ini adalah Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

antara penerima kismis


Dalam Projek Baginda kali ini kami di Kindness Malaysia (Kedah) mengedarkan bungkusan kismis & kurma serta serbuk kopi segera kepada orang ramai secara percuma. Selain itu kami juga mengadakan Projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) di Bandaraya Alor Setar pada tarikh yang sama. Tidak hanya mahu menggembirakan orang ramai semata-mata, projek baginda ini juga mempunyai matlamat tersendiri iaitu agar kebaikan yang dilakukan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain sekaligus dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.

Di Kedah, Projek Baginda dijalankan seawal jam 8.00 pagi dimana sukarelawan berkumpul dan diberi taklimat khas mengenai pengenalan persatuan diikuti sedikit taklimat ringkas berkenaan Projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) oleh Saudara Mohd Azrul Mohd Razak, (Timbalan Pengerusi 1) Kindness Malaysia. Menu yang disediakan oleh Kindness Kitchen pada kali ini adalah Roti Canai serta pelbagai jenis minuman PERCUMA khas buat pengunjung Dapur Makanan Percuma pada pagi tersebut yang mana ianya disediakan khas oleh sukarelawan Kindness Malaysia sendiri.

pelbagai reaksi yang telah diterima


Selesai sahaja projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) pada jam 11.30 pagi, semua sukarelawan bergerak ke pasaraya Tesco cawangan Mergong, Alor Setar pula bagi mengagihkan bungkusan kismis dan kurma serta serbuk kopi segera percuma kepada pengunjung pasaraya Tesco tersebut. Seramai 20 orang sukarelawan yang terlibat dalam Projek Baginda di Kedah kali ini terdiri daripada 4 orang sukarelawan yang bertugas untuk merakam gambar untuk projek dan selebihnya adalah sukarelawan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mengedarkan makanan serta kismis, kurma dan serbuk kopi segera kepada orang ramai.

Pelbagai reaksi yang kami terima sepanjang perjalan Projek Baginda pada kali ini antaranya ada pelanggan yang bukan beragama islam (non-muslim) terkejut dan gembira apabila mahu membayar harga makanan & minuman yang telah dimakan kemudian diberitahu bahawa makanan & minuman yang telah dimakan ini adalah PERCUMA semperna Maulidur Rasul. Tak kurang juga yang tidak percaya sehinggakan berkali-kali bertanyakan samada ianya benar-benar percuma. Ada juga yang takut untuk menerima bungkusan kismis dan serbuk kopi segera yang dihulurkan oleh sukarelawan kerana bimbang ada muslihat tersembunyi. Walaubagaimanapun tak kurang juga penerima yang tersenyum serta mengucapkan tahniah kepada sukarelawan Kindness Malaysia atas inisiatif yang dilakukan.
roti canai untuk semua

Semua bungkusan selesai diedarkan pada jam 1.30 petang. Sesi seterusnya sebelum penutup  adalah sukarelawan diminta berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan projek pada hari ini. Ternyata semua sukarelawan melahirkan rasa gembira serta memberikan mereka aura positif untuk terus melakukan & menyebarkan kebaikkan kepada masyarakat.  

Projek Baginda ditutup pada jam 2.00 petang dan bersurai. Kami bagi pihak warga Kindness Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih serta sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Projek Baginda 2015 pada tahun ini. Semoga kita semua terus istiqamah dalam melakukan kebaikan dan semoga segala kebaikan yang dilakukan akan kembali kepada diri sendiri.

Mohd Azrul Mohd Razak
Timbalan Pengerusi (1)
Kindness Malaysia

Sunday, December 27, 2015

Projek Baginda Bersempena Maulidur Rasul 2015


Tanggal  12 Rabiulawal  merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. 

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun  menuntut kita sama-sama menghayati, mencontohi ketabahan dan kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga amat dikenali sebagai seorang yang suka berbuat kebaikan, menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu  anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah tanpa mengira bangsa, agama, umur dan sebagainya. 

sesi taklimat berlangsung
Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul 2015 iaitu “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, Islam yang tegas dengan prinsipnya turut meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia adalah anugerah dari Maha Pencipta. Firman Allah SWT yang bermaksud:
 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berta’aruf dan berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…” (Surah al-Hujurat 49:13). 
‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ - begitulah pepatah yang sinonim dengan perpaduan. Menerusi firman Allah SWT di atas jelas bahawa Islam amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negara.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada tarikh 24 Disember 2015 (Khamis), sekali lagi tahun ini, Kindness Malaysia menganjurkan projek tahunan yang mengingati kebaikan baginda Rasulullah  S.A.W iaitu Projek Baginda. Projek ini dilaksanakan di hadapan pintu utama Sogo dengan mengedarkan kotak-kotak kecil comel yang berisi kismis kepada orang ramai yang berada di kawasan itu.

teruja untuk memulakan aktiviti

menerangkan kepada penerima
Daripada kekuatan 60 orang sukarelawan terlibat, hampir 70% sukarelawan ini terdiri daripada sukarelawan yang baru pertama kali terlibat dengan projek Kindness Malaysia. Projek ini dimulai pada 3.00 petang dengan sesi taklimat daripada penyelaras projek, Roghdaryanti binti Hashim dan Norharirdayu binti Hashim, serta di akhiri dengan kata-kata nasihat dan semangat daripada pengasas Kindness Malaysia, Muhammad bin Kamarulazizi.

Para sukarelawan diingatkan dengan beberapa panduan, antaranya niat untuk terlibat dalam Projek Baginda ini, samada untuk mengisi masa lapang, untuk menambah pengalaman, untuk menambahkan kenalan, minat yang mendalam dalam kerja-kerja kebajikan atau sebagainya. Apa pun niat masing-masing, niat yang paling utama ialah niat itu kerana Allah S.W.T. Semoga dengan niat itu, Allah S.W.T berikan kekuatan hati dan badan untuk menghadapi segala cabaran, semasa projek berlangsung maupun setelah projek selesai. 

Setiap sukarelawan dinasihatkan juga supaya membuat persediaan mental dari segi penolakan dari orang ramai. Ibarat panduan dari satu ayat Al-Quran iaitu 
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." (Fussilat:Ayat 34)
Seusai taklimat ringkas, kumpulan ini diberi bekalan kotak-kotak kismis yang dimasukkan ke dalam beg dan mula bergerak secara kumpulan kecil untuk mengedarkan kotak-kotak kismis itu kepada orang ramai. Pelbagai respon yang dihadapi oleh setiap sukarelawan, samada dalam keadaan terkejut, sangat gembira, mengelirukan, perlu diberi penerangan (terutama kepada pelancong luar negara), menolak mentah-mentah dan sebagainya. Apa pun projek ini selesai dengan begitu pantas sekali iaitu sekitar jam 4.30 petang, semua sukarelawan telah selesai dan berkumpul untuk sesi postmortem.

sesi bergambar bersama semua sukarelawan yang terlibat

Hasil dapatan daripada sesi postmortem ini, hampir keseluruhan sukarelawan sangat teruja dan seronok dengan pengalaman mereka ini. Mereka juga berharap akan dapat mengikuti lagi projek-projek lain yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia pada masa akan datang.


Roghdaryanti binti Hashim
Bendahari Kehormat
Kindness Malaysia

Saturday, December 26, 2015

Projek Baginda 2015 Berlangsung Dengan Jayanya



Syukur Alhamdulillah pada 24 Disember 2015 (bersamaan 12 Rabiuilawal 1437) yang lepas, Kindness Malaysia sekali lagi berpeluang menjalankan Projek Baginda buat kali ke-3 sempena memperingati Tokoh Kindness sepanjang zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. 

Pada Projek Baginda kali ini adalah dengan mengedarkan kismis kepada orang awam di beberapa tempat termasuklah di Pahang (1000 kotak), Perak (200 kotak), Kedah (700 kotak kismis dan kurma), Johor (300 kotak), Melaka (200 kotak), Perlis (300 kotak), Terengganu (200 kotak) dan sudah tentunya di Kuala Lumpur (800 kotak). Kindness Penang juga tidak melepaskan peluang bagi mengedarkan 100 botol campuran kacang di penempatan orang asli di Kampung Sg Ubi, Cameron Highland.

Di Kuala Lumpur, Projek Baginda dijalankan di hadapan pasaraya Sogo. Tepat jam 3.00 petang kesemua sukarelawan berkumpul dan diberi taklimat ringkas mengenai pengenalan persatuan oleh Pengasas Kindness Malaysia dan para sukarelawan juga diberi sedikit penerangan bagi melancarkan perjalanan projek oleh person in charge pada kali ini. 


ada juga yang risau untuk terima

antara penerima kismis Projek Baginda

Seramai 59 orang yang terlibat dalam Projek Baginda (KL) kali ini yang terdiri daripada enam orang sukarelawan yang bertugas merakam perjalanan projek menggunakan peralatan sendiri dan selebihnya adalah sukarelawan yang mengedarkan kismis kepada orang ramai termasuklah seorang daripadanya merupakan pemegang kad OKU (orang kelainan upaya). 

Respon yang diterima daripada orang ramai amatlah menarik. Ada yang menolak dengan baik, ada yang langsung tidak menghiraukan sapaan kami. Namun sebegitu, ini langsung tidak mematahkan semangat para sukarelawan yang ikhlas dalam menyebarkan kebaikan kepada orang ramai. Terdapat juga penerima yang tersenyum dan gembira sebaik sahaja menerima kismis yang diedarkan. Reaksi dan respon begini lah yang dinanti-nantikan oleh kesemua para sukarelawan. Tanpa mengharapkan balasan, para sukarelawan meneruskan projek dengan rasa bersemangat dan bermotivasi.


antara reaksi penerima

kotak kismis Projek Baginda

Semua kotak kismis habis diedarkan kira-kira pada jam 4.30 petang. Para sukarelawan diminta berkumpul semula dan mereka diminta untuk berkongsi pengalaman masing-masing. Ternyata para sukarelawan menzahirkan perasaan mereka yang sangat positif dan mereka juga gembira dapat melalui pengalaman manis bersama Kindness Malaysia. Semoga ia menjadi kenangan yang indah untuk dikenang dalam hidup para sukarelawan seterusnya dijadikan pendorong agar perbuatan berbuat baik menjadi rutin harian dalam hidup kita semua.

Projek berakhir pada jam 4.30 petang dan bersurai. Dari pihak Kindness Malaysia, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja terutama sekali para individu yang terus menerus menyumbang bagi menjayakan misi menyebarkan kebaikan ini dan juga penghargaan khas kepada Pusat Transformasi Luar Bandar Johor yang menjadi penaja utama bagi Projek Baginda kali ini. Semoga semua mendapat keberkatan dariNya.

"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar." ~ Surah Al-Baqarah. Ayat 2:263


Norharirdayu Hashim
Pengasas Bersama
Kindness Malaysia

Thursday, December 24, 2015

Ucapan Kindness Malaysia Bersempena Maulidur Rasul 2015/1437



Assalamualaikum and a very good day to everyone.

The Prophet Muhammad (SAW) asked his Ummah to treat each other with kindness and wish only peace. Any good word, deed and even a smile is a charity, and for that Allah has prepared a great reward. Every time, when a Muslim asks Allah for another man, the angels pray to Allah, that He bestowed upon the believer the same that he asks for another.

Sometimes, under the influence of feelings we want to say to the person an offensive word or wish that something is not quite good. But in these moments should be thinking about: do we really want it? Anger will subside, and the word will remain. Allah hears our every prayer, and sincere conversion undoubtedly will be accepted! The only difference is that we ask for good or vice versa that can harm humans. It is important to remember that prayer is for the benefit of coming true faster. So worth asking God to correct the bad qualities of the man and his admonition to the true path and thus be rewarded for showing kindness.

At the time of the Prophet Muhammad (SAW) lived a blind beggar Jew who cursed God's messenger and he said all the people that they did not listen to his exhortations, he is a liar! This old man was not familiar with the Prophet Muhammad (SAW), he does not even know him in person, but despite this did not stop swearing at him. When the news of the beggar went to the Prophet, he did not curse and swear at him, and he took the habit each day to visit the poor and feed. The Prophet Muhammad (SAW) was feeding the old man until he left this world, and the beggar even did not suspect that feeds him the man he hates. After the death of Muhammad (SAW), the poor Jew was waiting for him and wondered why he does not come and did not feed him?

When Abu Bakar (RA) heard about this act of the Prophet, he went to the market and found that very poor blind man and began to feed him, as the Prophet Muhammad (SAW) did. Then suddenly the beggar got angry and said, "Who are you?" Abu Bakar replied that he was the man who fed all these years. The beggar replied, No! Do not lie to me! The man was so nice to me, and the food he gave was very easy to chew, because he softened it to me..."

Upon hearing this, Abu Bakar could not resist and started falling tears. Abu Bakar said, "The man who came to visit you all these years was the Prophet Muhammad (SAW), I'm one of his followers..."
The beggar could not recover from this and wondered how the Prophet Muhammad, whom he had so long covered the railing could be so generous to him? The Jew said through the tears that indeed there is no God but Allah, and Muhammad - his Prophet, and became a Muslim.

This is just one of the hundreds of stories that happened with our honorable Prophet Muhammad (SAW). Sometimes people don't have patience and love towards others. Quarrel and burn the bridges is always easier, we should seek not easy, but the right way. Its a good attitude, a kind word and even warm glance melt the heart of the one who shot an arrow of anger in the soul.

Happy Maulidur Rasul and let kindness spread and make the world a better place to live.

Muhammad bin Kamarulazizi
Founder
Kindness Malaysia

****************************************************************************

Assalamualaikum wrb dan salam sejahtera.

Allahummasalli Ala Saidina Muhammad..Selawat dan Salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W..peribadi yang cukup mulia di sisi umat Islam. Sehingga ke harini,Baginda amat dikagumi di seluruh dunia. Salah satu sifat Baginda yang amat terpuji adalah melakukan kebaikan sesama manusia tidak mengira kaum,bangsa dan warna kulit sehingga di angkat sebagai manusia yang paling agung akhlaknya. Lakukan sedikit kebaikan harini dan seterusnya tidak kira sekecil mana kebaikan yang anda lakukan sebagai tanda kasih kita kepada Baginda, moga-moga usaha yang dilakukan akan mendapat syafaat di akhirat kelak. InsyaAllah.

Wan Nazri Wan Suhaimi
Timbalan Pengerusi 2
Kindness Malaysia

Monday, December 14, 2015

Idea Kreatif Melakukan Kebaikan: Projek Tiket dari Kindness Malaysia



11 Disember 2015 - Jumaat yang indah dengan iringan renyai-renyai hujan. Hamba lalui perjalanan petang itu dari Kuala Lumpur ke Terminal Bersepadu Selatan dengan keadaan jalan raya yang agak sesak demi sebuah misi.

Keterbatasan waktu bukanlah penghalang untuk hamba lunaskan apa yang hamba terima hasil dari ruang dan peluang yang telah diberi oleh pihak Kindness Malaysia untuk merealisasikan misi kami pada hari ini.

Misi ini kami simpulkan sebagai “ProjekTiket” dengan motif utama memberi duit tiket bas secara percuma kepada mereka-mereka yang ingin pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi pada malam tersebut.

peringkat awal persediaan di TBS

sediakan nota secukupnya
Menggalas amanah sebagai perakam video dari sudut tertentu untuk merakam reaksi wajah yang terpancar di setiap wajah-wajah bertuah pada malam itu bukanlah sesuatu yang mudah. Merakam secara rahsia atau dalam erti kata “senyap-senyap”.

Fuhhhhh… sedikit gementar juga hamba. Menegur orang awam secara spontan juga bukan suatu tugasan yang mudah. Tetapi dengan semangat dan kerjasama rakan-rakan Kindness yang lain, alhamdulillah.. misi ini tetap diteruskan juga.

“ProjekTiket” dimulakan dengan briefing sebagai mukadimah kepada apa yang wajar dan tidak wajar kami lakukan. Penerangan ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran awal bagaimana perlaksanaan “ProjekTiket” ini.

briefing dilakukan sebelum memulakan Projek Tiket

Misi mencari mangsa

Seawal jam 8 malam, dengan namamu Allah.. kami mula bergerak ke lokasi utama di kaunter-kaunter tiket bas bagi mencari sasaran-sasaran penerima “ProjekTiket”. Sukarelawan-sukarelawan yang lain mula mengambil posisi masing-masing dan watak-watak para pelakon dari Kindness mula memainkan peranan.

Hamba mula bergerak..merakam reaksi dan perbualan si pembeli tiket bas. Rata-rata meraka tidak menyedari kehadiran kami. Pelakon kami beratur dari belakang penerima-penerima “ProjekTiket” dan sekali kala para pelakon kami mencelah memulakan perbualan dengan golongan sasaran. Sampai di kaunter tiket, para pelakon Kindness terus meletakkan duit tiket percuma beserta nota “KAMI BAYARKAN TIKET BAS ANDA. SEMOGA SELAMAT PULANG & LUANGKANLAH MASA BERSAMA KELUARGA ANDA” semasa mereka mula mengeluarkan duit dari dompet mereka untuk membayar tiket bas.

Wah! Macam-macam reaksi riak muka yang terpampang dari wajah mereka. Ada yang terkejut, ada yang terpinga-pinga dan paling best yang tersenyum tu buat hamba rasa seronok sangat. Eh! Ada juga yang buat dekkk je… alahai.. terkejut agaknya.. atau mungkin tidak menyedari duit free di depan mata tu adalah untuk mereka.

antara camerawoman yang sudah sedia untuk merakam

salah seorang "mangsa" Projek Tiket

Dalam hati .. ALHAMDULILLAH… syukur kerana mereka gembira sebab dapat duit secara percuma. Siapa yang tak nak duit free kan? Tetapi hamba lebih gembira jika mereka dapat mendalami apa yang kami cuba sampaikan pada hari ini. InshaAllah…

Pun begitu ada juga halangan demi halangan yang kami tempuhi sepanjang melaksanakan “ProjekTiket” ini. Sasaran kami ada yang tak jadi nak beli tiket dan ada pula yang kehabisan tiket bas. Jadi, kami terpaksa mencari sasaran lain pula. Kalau tak sabar ni, memang terbaring lah kat situ kan.. maklumlah letih sebab lama berdiri kan. 

Di saat-saat “ProjekTiket” ini berakhir, ada juga yang cuba mmenawarkan hamba untuk memberi duit tiket kepada sasaran. Allah.. rasa macam nak buat macam tak nak buat pun ada. Hamba bukan seorang yg confident utk menegur orang secara tiba-tiba di khalayak ramai. Arghhhhh…. !

Last but not least, hamba terpaksa menolak tawaran tersebut dek kerana kurang confident dalam diri. Bila nak ada confident dalam diri ni, iman? 

penutup dan post mortem

Golongan sasaran “ProjekTiket” pada hari ini kami pilih secara rawak, ada student, ada orang perseorangan, ada keluarga yang bersama anak, ada pak cik dan mak cik dan ada juga seorang pelancong asing.

Dengan tujuan utama MEMBERI INSPIRASI kepada orang ramai unuk melakukan kebaikan kepada semua, hamba rasakan “ProjekTiket” ini telah berjaya menambat hati sasaran kami pada hari tersebut. Hamba yakin meraka akan berkali-kali membaca nota ringkas dari Kindess dan pasti tersenyum sendiri di dalam bas sepanjang perjalanan menuju ke destnasi masing-masing.

Besar harapan hamba agar “ProjekTiket” ini dapat memberi ilham kepada bukan sahaja orang ramai yang berada di TBS pada hari ini tetapi kepada semua pembaca coretan ini untuk melakukan kebaikan kepada orang lain.

TERIMA KASIH ALLAH kerana menghadirkan KINDNESS kepada hamba dan rakan-rakan sukarelawan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai agar melakukan kebaikan kepada semua tidak kira siapa pun mereka. Hamba percaya setiap kebaikan yang kita lakukan dengan ikhlas, DIA pasti akan membalas dengan kebaikan juga.

Hamba percaya setiap dari meraka yang terlibat dengan “ProjekTiket” ini punya jiwa-jiwa yang besar untuk terus bergabung tenaga memberi inspirasi kepada semua agar melakukan kebaikan. Ukhuwwah fillah-persahabatan kerana Allah juga hamba rasakan telah lama tersemat di jiwa-jiwa mereka.

Selamat maju jaya KINDNESS MALAYSIA!!

Sedikit pesanan buat semua…

Lakukanlah semua kebaikan dengan IKHLAS:

- dengan segala kemampuan yang kita ada

- dengan pelbagai cara selagi ia tidak melampaui batas

- di setiap tenpat yang dirasakan sesuai

- di setiap saat dan masa terluang yang kita

- kepada SEMUA orang

- selagi nafas kita ada

Ilham rasa seorang “hamba”,



Iman Nur Alia
Sukarelawan
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my
#ByEveryoneForEveryone

Sunday, December 13, 2015

Tidak Semudah Itu Untuk Lakukan Kebaikan (Projek Seringgit)



11 Disember 2015 – Saya mulakan dengan bismillah. Okay bermula dengan OBJEKTIF PROJEK. Saya nak beritahu objektifnya untuk membantu semua orang untuk duit tambang bas. Dengan adanya RM1 yang kita derma sekurangnya. Mereka dapat mengunakan duit itu untuk balik rumah. Okay selain itu, objektifnya dapat memanfaatkan dengan beli makanan atau minuman or tak kesahlah janji dapat guna duit itu. Okay objektif lagi, dapat menceriakan orang yang dapat duit itu. okay! Baru ingat objektif projek itu saya dapat menambah pahala untuk dunia dan akhirat. Yela saya ni bukan nya baik sangat tapi sekurangnya dengan aktiviti ini saya dapat buat kebaikan kepada semua orang. Objektif terakhir saya nak masuk SYURGA FIRDAUS, nak jumpa ibu saya kat sana :) Nampak pelikkan? Okay actually saya memang suka lakukan projek macam ini. Lagi-lagi nak bantu orangkan. 

Tapi bagi saya kan, tak pernah group-group lain buat macam ni selain Kindness Malaysia. Kindness Malaysia lain daripada lain. Masa projek RM1 mula, saya target nak kasi kepada awek muda. Bukan awek muda sahaja, tapi pada orang tua dan semua orang tak kira bangsa, budaya dan agama. Projek start tu kan ingat kan biasa2 je, hahahahah. Rupanya MENCABAR juga . SSSSSSAAANNNGGAAAAT MENCABAR Ramai orang tengok macam lain. Yela bayangkan kita datang kat orang then kasi duit. Apa tak nya orang pelik, kasi punya kasi, semua tak nak. Ada yang lari pula tu. Ingat kita MLM ke? Ingat kami ni jual barang ke? Ingat kami skim cepat kaya ke? 

Perlu berani, rentak kena betul

bersama penerima

siap selfie lagi

ramai juga yang sangsi

Secara jujurlah saya sebak dan sedih . yela kita nak tolong diaorang tapi diaorang lari dari kita. Saya nak kasi duit kat diorang semua tolak. Apa yang saya ingat kan ada orang perempuan ni cakap "Ni apa ni ? dah dah tak nak duit ni! Ini semua skim cepat kaya, nak tipu orang je suruh ambil duit." Tak ada nilai ke RM1 tu? Pada mulanya saya rasa give up dan sebak dan sedih dan macam-macam. Tapi saya yakin pada Allah yang saya nak bantu orang. Saya tengok cara Kak Erin kasi orang. Saya tahu caara nya! Nak buat baik pun ada caranya! Best! Bila saya suruh diorang pegang dan baca depan saya. pastu kan saya cakap "ceria tak ?" Diorang cakap ceria! Terus saya cakap amiklah duit tu, saya kasi awak. Semua terkejut dan gembira. YA ALLAH sukanya saya dapat tengok diorang senyum. Then ada pula nak berselfie bagai. HAHAHAHAHAAH kata diva, opss, hehehehe. Memang best sampai duit RM1 habiss. 

saya perhatikan cara Kak Erin lakukannya
Macam-macam saya belajar bila join projek tu. Bagi saya kenapa kita nak buat baik tapi orang prasangka buruk pada kita? RM1 tak nak ke ? Allah, sedihnya. RM100 nak? Wah cepat orang nak amnil. Ramai orang sangka niat kita buruk dengan RM1. Tapi apa yang saya belajar rupanya nak buat baik ada caranya. Bukan main sergah je. Takut ler orang dalam hidup kita kena ada ilmu dan cara walaupun nak buat baik. Saya dapat belajar bukan mudah untuk gembirakan orang. Kalau nak gembirakan orang. KITA GEMBIRAKAN DIRI KITA DULU " SENYUM HAZIQ " HAHAHAHAHAAH. 

Terakhir harapan saya, semoga Kindness Malaysia dapat dikenali oleh seluruh Malaysia dan negara. Semoga Kindness Malaysia banyak mempelbagaikan aktiviti tak kira aktiviti untuk sukarelawan atau sesiapa sahaja. Nanti Kindness Malaysia buat gathering luar negara ( SAYA NAK IKUT!!!!!!) Itulah saya nak share pengalaman saya sepanjang join projek RM1. Sorry kalau panjang. Okay tunggu next projeekkk. Stay tune di KINDNESS MALAYSIA! :)

Muhamad Haziq                            
Sukarelawan
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Saturday, December 12, 2015

Projek Seringgit Anjuran Kindness Malaysia Kembali di Bandar Tasik Selatan



11 Disember 2015 – Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan. Syukur Alhamdulillah Team Kindness Malaysia Berjaya melaksanakan aktiviti peduli masyarakat demi mengembangkan semangat kebaikan kepada semua insan iaitu itu Projek Seringgit. Lokasi LRT Bandar Tasik Selatan telah dipilih berdasarkan kesesuaian dengan tarikh, masa dan kesibukan masyarakat yang baru sahaja pulang dari tempat bekerja.

Sebelum aktiviti ini dijalankan, kami telah berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mengedarkan RM 1.00 kepada individu yang bertuah pada hari tersebut. Sesi penerangan telah diketuai oleh Pengasas Kindness Malaysia, Encik  Muhammad Kamarulazizi memandangkan ada sukarelawan yang baru pertama kali yang menyertai aktiviti seperti ini. Beliau telah mengingatkan semua sukarelawan agar bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Kawasan tumpuan ialah di hentian bas, dua laluan utama ke stesen LRT dan di mesin pembelian tiket. 

tidak semudah itu untuk meyakinkan orang ramai tentang Projek Seringgit

sukarelawan yang bersedia untuk Projek Seringgit

Antara penerima Projek Seringgit

penerima gembira sehingga selfie sekali bersama sukarelawan

adik kecik juga antara penerima

penerima juga bertanyakan beberapa soalan untuk kepastian
 Semasa aktiviti ini dijalankan, beberapa sukarelawan baru agak terkejut, gugup gementar dan ada yang patah semangat. Ini kerana kebanyakan responden pada ketika itu menolak pemberian RM1.00 serta bersikap pesimis dengan usaha kami. Kami tidak mahu menyalahkan mereka , boleh jadi ada silapnya dalam cara kami mendekati mereka. Atau mungkin mereka bimbang akan ditipu berdasarkan maklumat daripada sumber media atau melalui pengalaman buruk sendiri. Namun setelah dibimbing dan ditunjuk ajar oleh beberapa sukarelawan yang berpengalaman, segala kepayahan itu dapat diatasi. Salah satu contoh buah fikiran yang bernas ialah meminta responden membaca mesej yang terselit pada RM1.00, lalu kami serahkan kepada mereka. Alhamdulillah, pabila raut wajah mereka mula mengukir senyuman, timbul rasa syukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya hajat kami untuk menyampaikan kebaikan kepada masyarakat mula tercapai.

adik beradik sukarelawan

mudahnya melakukan kebaikan
Pihak Kindness Malaysia ingin memberikan jutaan penghargaan kepada para dermawan yang tergerak hatinya untuk menderma demi projek ini. Tak lupa juga kepada para sukarelawan yang sanggup hadir walaupun menempuhi kesibukan kerja dan aktiviti keluarga. Kesimpulannya, jauh perjalanan lagi dalam membentuk masyarakat yang positif mindanya dan berlumba-lumba membuat kebaikan. Namun, dengan izin Yang Maha Berkuasa, impian ini pasti akan tercapai.

Muhammad Nazim Aziz                             
Projek Koordinator
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...