About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Friday, December 15, 2017

Kindness Malaysia Merentas Sempadan-Projek Backpackers


Projek Kolaborasi KindnessMalaysia bersama Yayasan Dana Sosial al-Falah (YDSF) dirancang kira-kira empat bulan sebelum perlaksanaannya. Pelbagai cabaran yang ditempuhi untuk melaksanakan projek ini. Ianya melibatkan kesabaran yang tinggi apatah lagi di saat negara kita, Malaysia juga dilanda bencana banjir serta situasi cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah suntikan semangat daripada rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia yang lain membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan misi ke Indonesia. Projek ini mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan rakan-rakan Kindness Malaysia, pengasas, rakan-rakan donator serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.



Hari pertama.

Perjalanan bemula seawal jam 8.00 pagi apabila kami perlu berkumpul di KLIA 2 tepat jam 9 pagi. Sengaja kami awalkan walaupun boarding time pada pukul 11.45 pagi untuk persediaan dan sedikit taklimat santai.
Stick madu percuma semasa Projek Baginda di KLIA 2

Kami mulakan dengan Projek Baginda di sekitar KLIA 2 sementara menunggu penerbangan berlepas. Projek ini adalah sempena meraikan Hari Kelahiran nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Penerima tersenyum mendapat stick madu percuma

Penerima dari pelbagai lapisan masyarakat di KLIA 2

Alhamdulillah Projek Baginda berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai dengan penerimaan stick madu yang diberi secara percuma kepada yang bertuah. 

Penerbangan yang tertunda lebih satu jam dan perjalanan mengambil masa 3 jam 30 minit, akhirnya mendarat pada pukul 3.45 waktu Malaysia iaitu pukul 4.40 petang waktu Indonesia di Juanda International Airport Indonesia.

Pihak YDSF yang menyambut baik kedatangan kami

Kami dibawa menaiki kenderaan motor terus ke Malang, Indonesia yang mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan. Pak Agus yang setia menunggu kami sejak jam 12.00 lagi. Apabila ditanya kenapa terlalu awal menunggu jawab Pak Agus tidak mahu terlewat kerana jalan sesak katanya. Terima Kasih Pak Agus.

Terima kasih Ibu Yuli memberi kami penginapan yang selesa 

Di Indonesia, pukul 6 sudah mulai gelap. Setelah berhenti makan, kami meneruskan perjalanan dan tiba di rumah Ibu Yuli yang bertanggungjawab menjaga kami sepanjang kami berada di Indonesia. Sebelum masuk tidur, kami berehat dan bersembang santai bersama keluarga Ibu Yuli sambil berkenal-kenalan sehingga lewat malam. Jam 3.40 pagi kami dikejutkan oleh suara azan  kerana rumah Ibu Yuli sangat dekat dengan masjid.

Hari kedua.

Melangkahkan kaki di perkarangan pejabat YDSF membuatkan kami cukup teruja. Kami disambut  baik oleh mereka dengan banner kerjasama Kindness Malaysia bersama YDSF yang sedia terbentang. Ternyata, ini sesuatu yang di luar jangkaan kami. Melangkah kaki ke bilik mesyuarat yang berada di tingkat atas juga membuatkan kami hilang kata-kata kerana tekejut dan terharu dengan sambutan daripada YDSF. Syukur alhamdulillah dengan kerjasama dan sambutan baik mereka.

YDSF mengalu-alukan kedatangan kami

Kami diberi penerangan tentang YDSF oleh barisan pengurusan dan daripada Pengarah YDSF sendiri iaitu Pak Agung Wicaksono atau nama panggilan Pak Awie. Kami juga diberi kesempatan untuk memberi penerangan tentang Kindness Malaysia dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Kami berehat seketika untuk solat zohor sebelum kami dibawa melawat ke Griya Tahfidz Balita Ahmad Yani. 

Projek Koordinator bertukar cenderahati

Griya Tahfidz Balita Ahmad Yani merupakan sebuah tahfiz anak-anak kecil seusia 3 hingga 4 tahun yang mampu menghafaz Al-Quran. Kami difahamkan anak-anak sekecil ini mampu menghafaz sehingga ke juzuk 30. MasyaAllah, cukup hebat. Sangat hebat cara didikan ke atas anak-anak ini sehingga mampu melahirkan Hafiz dan Hafizah pada usia yang masih muda. Kami juga diminta untuk membacakan mana-mana ayat dari juzuk Al-Quran dan anak-anak di sini akan menyambung terus dari bacaan kami. Cukup hebat pengalaman sebegini.

Bendera Malaysia dan Indonesia siap digantung di depan Pusat Lembaga Amil Zakat 

Hari Ketiga.

Kami dibawa ke lokasi Car Free Day (Hari tanpa kenderaan di Jalan Ijen-Malang). Di sini, kami berpeluang menyediakan gula-gula dan belon percuma kepada para pengunjung cilik. Ada juga "rejection" yang kami terima semasa memberi.

Projek Belon dan Gula-gula percuma

Pada awalnya, pengunjung agak pelik ketika kami melaungkan "belon percuma! "gula-gula percuma!" . Pada fahaman mereka di sini, percuma bermaksud sia-sia mengikut bahasa Indonesia. Jadi, pemberian percuma itu adalah sesuatu yang sia-sia.  Oleh itu, kami dinasihatkan menukar laungan percuma itu kepada gratis. Belon gratis! Gula-gula gratis! Derma seikhlasnya! Alhamdulillah, pengunjung menyambut baik dengan senyuman.

Sukarelawan yang terlibat

Pelbagai reaksi penerima

Sempat mengutip dana tabung Indonesia

Projek selipar juga sempat kami selitkan sepanjang perjalanan kami. Di Kota Malang ini, terdapat pelbagai  masjid yang cantik, besar dan jumlahnya cukup banyak. 

Terselit nota kebaikan pada selipar yang akan diagihkan

Pemberian selipar

Setiap masjid yang kami jumpa sepanjang perjalanan akan diberi selipar percuma

Kami turut dibawa ke kampung warna-warni untuk merakamkan beberapa foto sebelum meneruskan projek Kongsi Rezeki di Lembaga Kesejahteraan Sosial Anak (LKSA) Robbani. LKSA menempatkan ramai anak-anak yatim dan miskin khusus untuk pembelajaran Al-Quran, di bawah pantauan LKSA dengan kerjasama YDSF. Sekali lagi kami semua  kehilangan kata-kata apabila kami disambut seperti VVIP.

Bersama adik-adik dari Lembaga Kesejahteraan Sosial Anak (LKSA) Robbani


Di sini kami diberi penghormatan untuk memotong Nasi Tumpeng, kami sangat teruja dan terharu dengan sambutan yang diberi dan inilah pengalaman pertama kami menerima layanan sebegini. Kami membawa belon, gula-gula, bendera dan pelbagai manisan termasuk vitamin untuk menceriakan adik-adik yang berada di LKSA.

Sesi memotong Nasi Tumpeng

Selepas ke Car Free Day, kami meneruskan Projek Kedua pada hari itu iaitu Projek Pintu Rezeki. Barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, garam , kopi dan teh disediakan untuk mereka yang terpilih.

Barangan keperluan asas sedia untuk diagihkan

Menjelajahi setiap pelusuk perkampungan di Kota Malang

Salah seorang penerima yang terdiri daripada warga tua 

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kami apabila salah seorang penerima  yang cacat penglihatan mengalirkan air mata ketika kami memberi barangan keperluan ini. Lebih terharu apabila penerima terus menadah tangan dan mendoakan kami. Semoga doa-doa mereka diangkat dan dimakbulkan. Amin.

Selesai Projek Kongsi Rezeki, kami meneruskan misi untuk ke projek anak jalanan. Projek ini dilaksanakan dengan memberi makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang kami jumpa di jalanan.

"Makanan ini gratis untukmu sayang" 

Peniaga di jalanan juga menerima rezeki percuma dari kami

Sekumpulan penyokong bola sepak Indonesia Aremania juga berpeluang berkongsi rezeki dengan kami dan kami mengambil kesempatan untuk menyumbang sedikit wang ke dalam tabung bencana Indonesia yang disediakan oleh kumpulan ini.

Inspirasi kebaikan disebar bersama

Bersama penyokong bola sepak Indonesia Aremania 

Projek Petrol yang dirancang terpaksa digugurkan kerana kurang mendapat kerjasama penuh dari pemilik stesen minyak berkenaan. Ini mungkin kerana sensitiviti masyarakat Indonesia terhadap isu politik. Mungkin mereka bimbang sekiranya kami mewakili mana-mana parti politik. Namun itu semua tidak mematahkan semangat kami untuk terus menyebarkan kebaikan di Kota Malang ini dengan aktiviti yang lain.

Sebelum pulang, kami sempat makan malam bersama-sama. Ternyata kepuasan terpancar di muka setiap dari sukarelawan walaupun sepanjang hari kami dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menuntut stamina yang tinggi dan perlu berjalan jauh ke satu-satu tempat.


Hari Keempat.

Hari ini kami meneruskan kunjungan ke Batu Secret Zoo. Sebelum ke sana,  kami singgah di Pejabat YDSF untuk mengucapkan selamat tinggal. Sememangnya agak keberatan hati kami semua untuk meninggalkan rakan-rakan di sini kerana layanan yang begitu baik dari setiap warga YDSF. Walau apa pun, semangat mereka tetap kami bawa bersama. 
Bergambar kenangan di Batu Secret Zoo

Kunjungan di Batu Secret Zoo menandakan berlangsungnya Projek Seringgit kami. Kami mengalami sedikit kesukaran apabila agak sukar menukarkan matawang rupiah supaya senilai dengan RM1.

Projek Seringgit 

Akhirnya kami membuat keputusan untuk memberikan 4000 rupiah bersamaan Ringgit Malaysia 1.25 sen. Modus operandi projek ini sangat santai dan cukup menarik. Kami letakkan duit tersebut di sekitar zoo secara tersembunyi dan kami tinggalkan bersama nota kebaikan. Dengan harapan sesiapa yang bertuah yang menjumpai duit tersebut akan teruja dan mendapat manfaat dari duit tersebut.

Duit diselitkan bersama nota kebaikan di pasu bunga

Kami luangkan masa hampir sehari suntuk di Secret Zoo memandangkan banyak tempat menarik di dalam zoo ini. Tambahan pula, bayaran masuk yang berpatutan sebanyak 96000 Rupiah, bersamaan RM 30.00 untuk seorang. Akibat kesuntukan masa, sememangnya banyak tempat yang tidak berkesempatan untuk kami lawati dan kami pasti akan kembali ke sini lagi.

Secret Batu Zoo menyimpan seribu satu kenangan

Setelah selesai menikmati keindahan Batu Secret Zoo, kami pulang ke rumah agak lewat malam bagi memenuhi setiap keinginan sukarelawan membeli barangan kiriman dan ole-ole.

Hari Kelima dan terakhir di Kota Malang.

Seawal jam 5.00 pagi, kami sudah bersedia untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda. Setiap perjumpaan pastinya ada pengakhiran. Kami dengan berat hati terpaksa meninggalkan bumi Indonesia untuk meneruskan kehidupan harian kami di Malaysia. Banyak pengalaman berharga yang kami perolehi sepanjang lima hari berkampung di bumi bertuah Malang. 

Terima kasih warga YDSF

Jutaan terima kasih kami kepada keluarga Pak Didik, Ibu Yuli dan Embah Uti kerana menerima kehadiran kami sebagai ahli keluarga serta melayan pelbagai karenah kami selain melengkapi projek-projek kebaikan Kindness Malaysia yang kami rancang.

Sukarelawan bersiap sedia untuk  berangkat pulang 

Penerbangan pulang kami diiringi kumpulan Jemaah Umrah yang ingin ke Mekah dan Madinah. Alhamdulillah inilah pertama kalinya kami berada dalam penerbangan bersama-sama para Jemaah yang ingin mengerjakan ibadah ke tanah suci. Jauh di sudut hati, kami panjatkan doa, semoga suatu hari nanti kami pula akan dipanggil untuk mengerjakan Umrah dan Haji bersama-sama. 

Duit lebihan hasil kutipan para sukarelawan, kami serahkan semuanya kepada salah seorang ahli jemaah haji yang kebetulan juga dari Malang, Indonesia. "Gunalah untuk apa saja,  belanja kawan-kawan minum, makan atau apa sahaja, semoga dengan sumbangan ikhlas ini dapatlah kiranya mendoakan kami,' sapa salah seorang sukarelawan kami. Si penerima sempat mendoakan Kindness Malaysia dimurahkan rezeki untuk terus melakukan aktiviti-aktiviti kebaikan.

Kindness Malaysia dan YDSF 

Setinggi-tinggi penghargaan untuk Yayasan Dana Al-Falah (YDSF) atas kerjasama yang baik serta  pengajaran bermakna sepanjang bersama-sama menjayakan projek kebaikan di Indonesia. Didoakan semoga YDSF terus berjaya di lapangan masing-masing dan kerjasama erat bersama Kindness Malaysia akan terus terjalin pada masa-masa akan datang.  Bagi pihak Kindness Malaysia dan para sukarelawan yang mengikuti projek lima hari di Kota Malang memohon maaf di atas segala kekurangan sepanjang prorgam di sana. 

Tidak lupa juga penghargaan buat pengasas Kindness Malaysia, En Muhammmad Bin Kamarul Azizi yang memberi kepercayaan untuk kami melaksanakan projek ini. Salam sayang juga untuk rakan-rakan sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menyediakan segala persiapan walaupun ada permintaan di saat-saat akhir. Anda tahu siapa anda. Semoga Allah dapat membalasnya.

Malaysia Indonesia kekal bersaudara! Semoga kebaikan terus tercemar merentasi pelbagai benua!


Noridah Binti Abd Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Wednesday, December 6, 2017

Mengenang Kebaikan Baginda



Pada 12 Rabiulawwal 1439 Hijrah bersamaan hari Jumaat yang mulia, Kindness Malaysia telah mengadakan Projek Baginda bagi meraikan hari ulangtahun kelahiran ikon terulung Kindness Malaysia iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Projek yang dinamakan Projek Baginda ini cukup terkenal di kalangan para sukarelawan kami kerana diadakan  setiap tahun. 

Sambil memberi sambil menerangkan tentang Hari Maulidur Rasul

Lokasi yang dipilih adalah di sekitar pasaraya Sogo, Kuala Lumpur. Sasaran kami adalah masyarakat umum pelbagai kaum di sekitar lokasi yang menjadi tumpuan di ibu kota Kuala Lumpur ini.  Sesuai dengan slogan Kindness Malaysia, demi menyebar kebaikan kepada sesiapa jua tanpa mengira umur, kaum, bangsa dan agama.

Hampir 600 madu stick percuma berjaya dipacking dan bersedia untuk diedarkan pada hari tersebut. Kenapa memilih madu stick? Madu stick ini kecil, mudah dibawa dan boleh terus dimakan selain sesuai untuk semua lapisan umur. Yang paling penting, madu stick adalah sebagai alternatif mudah untuk kita semua menikmati madu. Bukan senang nak mendapatkan madu secara percuma bukan? Madu juga sebagai makanan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sangat menggemari makanan yang manis seperti madu selain memberi khasiat yang baik untuk kesihatan. 

Sesi penerangan sebelum mengedar madu stick

Kami semua berkumpul di sebuah kedai di hadapan Sogo, Kuala Lumpur untuk mendengar sesi penerangan daripada Projek Koordinator pada hari itu. Kami diberi pendedahan kepada bagaimana cara mengedar madu stick serta sesi penerangan "do and don't", apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan sepanjang projek berjalan. 

Kelibat sukarelawan yang baru pertama kali menyertai projek ini juga ada kelihatan. Ada yang berumur 16 tahun dan berbangsa Cina selain dua orang peserta dari badan Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin dan Empire Project. Secara keseluruhannya, hampir 25 orang sukarelawan termasuk rakan-rakan Kindness Malaysia bergabung tenaga mengedar madu stick pada petang itu.

Sukarelawan yang terlibat bersemangat untuk mengedar madu stick

Setelah fokus mendengar penerangan, kami mula mengedar madu stick. Madu stick dibahagikan kepada setiap sukarelawan supaya mereka dapat merasa sendiri pengalaman memberi kepada orang ramai. Madu stick diedar pada jam 5.00 petang. Pelbagai reaksi orang awam yang kami terima. Ramai yang menyambut baik madu stick ini tetapi ada juga yang menolak. Bukan mudah memberi walaupun secara percuma. Cabaran dan dugaan semasa memberi ini mengingatkan kita kepada betapa besarnya dugaan Nabi Muhammad S.A.W. dalam mengharungi kehidupan di zaman beliau. Ketabahan baginda menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk menghadapi apa jua bentuk cabaran sepanjang Projek Baginda pada hari itu dan projek-projek menyebarkan kebaikan di Kindness Malaysia.

Reaksi orang awam 

Ada yang terkejut dan mula bertanya, "Kenapa nak bagi madu ini?" Salah seorang sukarelawan kami menjawab sambil tersenyum,"Hari ini kami berikan madu stick percuma sempena Maulidurrasul." Penerima terus mengambil tanpa ragu-ragu dan tersenyum malu mungkin kerana terlupa bahawa hari itu adalah Hari Maulidurrasul. Lihatlah betapa dekatnya Nabi Muhammad S.A.W. dengan ummatnya.

Lokasi di sekitar Sogo, kuala Lumpur yang menjadi tumpuan orang awam

Pemandu teksi juga turut menerima madu stick percuma dari kami

Kami hanya tersenyum kepada sebilangan orang awam yang menolak madu stick ini, tiada paksaan dalam menerima dan kami tidak berputus asa. Kami terus memberi baki madu stick yang masih ada. Alhamdulillah, berkat kesabaran semua, kami berasa lega kerana dalam masa setengah jam, 600 madu stick berjaya diedarkan. 

Penerima terdiri daripada pelbagai peringkat umur

Antara keluarga yang menyambut baik madu stick percuma

Senyuman si cilik buat kami tertawan


Semasa memberi, sukarelawan kami sempat beramah mesra dengan adik comel ini

Senyuman yang penerima berikan kepada kami, membuatkan kami semua gembira. Dengan nota yang tertera bersama-sama madu stick ini, kami percaya, penerima pasti terus terkenang baginda Rasulullah S.A.W. yang suka mengajak ummatnya melakukan kebaikan. 

"Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain"

Kami semua berkumpul semula di tempat kami bermula  setelah berjaya mengedar stick madu. Sesi perkongsian oleh para sukarelawan selepas projek berakhir benar-benar membawa manfaat dan memberi pengalaman berguna kepada kami. 

Sahabat-sahabat Kindness Malaysia tekun mendengar perkongsian dari saudara Luqman

"Sebenarnya, kita perlu tahu adab semasa memberi dan menerima", antara perkongsian dari saudara Luqman, sukarelawan Kindness Malaysia.  

Sukarelawan berbangsa Cina yang pertama kali ikut serta

Sukarelawan berbangsa Cina yang pertama kali mendekati projek ini juga sempat berkongsi pengalaman dan menyatakan bahawa beliau seperti sudah lama mengenali kami di Kindness Malaysia walaupun baru pertama kali bertemu kami. Ya, sememangnya Kindness Malaysia amat mengalu-alukan sesiapa jua untuk menyertai sebarang projek yang kami adakan. 

Selain menyebarkan kebaikan dan mengenang baginda S.A.W, ternyata, projek sebegini dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita. Ingatan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. perlu kita lakukan dalam pelbagai cara seperti Projek Baginda, berselawat, mencontohi sifat-sifat terpuji baginda dan mengamalkan sunnah baginda. 

Didoakan semoga Projek Baginda terus mendapat tempat di hati masyarakat dan dapat diikuti oleh semua. Misi menyebarkan kebaikan akan terus tercemar di mana jua terutama di negara kita, Malaysia. 

Terima kasih kepada para penaja Projek Baginda dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Projek Baginda untuk tahun ini. Semoga kita bertemu lagi di 12 Rabiulawwal 1440H akan datang.

Sukarelawan bergambar kenangan sebagai penutup Projek Baginda

Salam Maulidur Rasul buat semua.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ

Muhammad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia



Monday, December 4, 2017

Laporan Tiga Hari Pertama Kindness Malaysia Berkunjung ke Malang, Indonesia



Asalamualaikum. 

Nak kongsi sedikit laporan dari saya pada rakan Kindness Malaysia.

Hari ke- 2 di Malang. Kehadiran kami di sambut oleh Yayasan Dana Sosial Al-Falah Malang di Masjid Jendral Ahmad Yani, Malang. Sememangnya kehadiran kami di alu- alukan dan di sambut dengan secara rasminya.

Pembukaan kata oleh pihak YDSF Malang di mulai dan di teruskan dengan pengenalan YDSF Malang dan sesi suai kenal antara YDSF Malang dengan  Kindness Malaysia.

Seterusnya kami di jemput melawat ke sesi pembelajaran anak-anak seawal 3 tahun di STID Ahmad Yani. Di mana mereka memperkenalkan sistem cepat menghafal Ayat ayat suci Al-Quran pada anak anak yang seawal 3 - 9 tahun.

 Dan di teruskan dengan gambar kenangan di Pejabat Yayasan Dana Sosial Al -Falah.

Aktiviti bersama dilakukan dengan YSDF


Sedikit ilmu dan pengetahuan untuk di kongsikan. 

Yayasan Dana Al-Falah Malang adalah sebuah NGO yang menguruskan dana dan menjadi Lembaga Amil Zakat di Masjid Jendral Ahmad Yani, Malang. Sememangnya Indonesia ini terlalu luas dan banyak kepulauannya. Kerana itu pihak kerajaan di sini dan orang setempat di sini memberi kepercayaan kepada NGO untuk mengawal dana dan zakat di setiap masjid.  

Kalau di Malaysia, Zakat kita diuruskan oleh badan kerajaan antaranya Lembaga Zakat Malaysia dan di setiap negeri dan daerahnya di kawal oleh Lembaga Zakat Malaysia. Malah ada NGO akan membantu Lembaga Zakat dan badan kerajaan untuk menjejaki asnaf dan orang yang layak menerima zakat.

Perbincangan kerjasama YDSF dan Kindness Malaysia
Antara yang di perbincangkan oleh YDSF Malang bersama Kindness Malaysia. 

1) Harapan YDSF Malang adalah untuk menjalin hubungan rapat NGO antara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. 

2) Insyallah untuk yang akan datangnya Kindness Malaysia akan mendapat kunjungan dari YDSF Malang ke Malaysia untuk  berkunjung di Pehabat Kindness Malaysia dan mengikuti  aktiviti Kindness Malaysia. ( Harap kawan kawan dah bersedia untuk ini)

3) antara yang dicadangkan YDSF Malang ialah akan ada pertukaran para sukarelawan antara Kindness Malaysia dan YDSF.

Amrail Danial bin Alias
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...