About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Wednesday, January 25, 2017

Projek Backpack, Kembara Kindness ke Utara Tanah Air



Pada 20 - 23 Januari 2017 Kindness Malaysia telah mengadakan Projek backpack mengembara ke Utara Tanah Air. Projek Backpack merupakan salah satu projek inisiatif para sukarelawan untuk menyebarkan dan menjadi inspirasi kepada setiap masyarakat setempat untuk melakukan kebaikan. Seramai 8 orang sukarelawan, terdiri daripada 7 lelaki dan seorang perempuan yang menyertai kembara kebaikan selama 3 hari 2 malam ini. Projek backpack ini menglibatkan 3 buah negeri di utara Malaysia iaitu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Pelbagai aktiviti kebaikan telah dilakukan pada setiap perhentian. Persediaan telah dilakukan beberapa hari sebelum hari pengembaraan. Kami telah berbincang aktiviti yang sesuai untuk dilakukan sepanjang kembara kebaikan. Antara aktiviti yang mudah dilakukan ialah projek seringgit, suspended meal, dan projek belanja meja sebelah makan. Walau bagaimanapun, aktiviti akan dipilih bergantung kepada kesesuaian tempat dan keadaan.

Setiap sukarelawan dibekalkan gayung untuk program wakaf


Hari Pertama

Pengembaraan bermula, destinasi kami yang pertama ialah Ipoh, Perak. Sebelum bergerak kami semua berkumpul di KL Central untuk menaiki keretapi ETS ke Ipoh. Tiket keretapi pada pukul 2.45 petang dan dijangka sampai pada pukul 5.10 petang di Stesen Keretapi Ipoh. Kami semua bersemangat dan tidak sabar untuk menyebarkan kebaikan di sana. Kami turut mengambil kesempatan menghadiahkan RM1 kepada tukang cuci yang mengutip sampah sebagai penghargaan kerana membantu membersihkan sampah yang berada di dalam gerabak keretapi. Sesampainya kami di Ipoh, kami berjalan ke Masjid Sultan Idris Shah 2 yang juga merupakan masjid negeri Perak untuk menunaikan solat. Selesai solat kami merancang pergerakan dan hala tuju misi kebaikan yang boleh dilakukan di sekitar Ipoh. Kami mengambil peluang untuk melakukan aktiviti kebaikan di masjid. Antara aktiviti yang dilakukan di masjid ialah meninggalkan gayung sebagai wakaf untuk kegunaan orang ramai, meninggalkan duit RM1 di mesin urut untuk mereka yang bertuah, dan belanja pelajar-pelajar yang berada di masjid minuman yang dijual di dalam mesin air.

Kami dalam ETS perjalanan ke Ipoh

Hadiah untuk pakcik yang tolong kutipkan sampah kami

Kepada jemaah masjid yang bertuah untuk menggunakan mesin urut ini

Belanja pelajar-pelajar di masjid air minuman


Perjalanan diteruskan dengan berjalan di sekitar pekan ipoh sambil memikirkan kebaikan yang boleh dilakukan di kawasan sekitar. Perjalanan berakhir di sebuah taman berhadapan Hotel River Front. Namun, aktiviti kebaikan terhenti sebentar kerana hujan turun dengan lebatnya dan hari semakin gelap. Kami terus merancang untuk melakukan aktiviti kebaikan di kawasan terminal bas yang akan kami naiki untuk ke Pulau Pinang pada keesokan harinya. Sesampainya di Mydin Mall Meru Raya, kami terus mengisi perut dengan Nasi Kandar yang sangat sedap di food court. Selesai makan, beberapa orang sukarelawan pergi membeli buah limau untuk diberikan kepada orang ramai yang makan di food court. Sabun tangan juga turut dibeli untuk projek sabun. Sabun di letak di tempat basuh tangan untuk kegunaan orang ramai membersihkan tangan. Setelah selesai aktiviti kebaikan, kami berjalan mencari hotel di kawasan berhampiran untuk bermalam dan merehatkan badan.

Perbincangan aktiviti yang sesuai dilakukan di Ipoh

Kami di sekitar kawasan Ipoh
Projek sabun untuk orang ramai guna untuk basuh tangan
Projek buah limau untuk pengunjung di Mydin Meru Ipoh

Hari Kedua

Seawal 6 pagi kami bangun menunaikan solat dan menyiapkan diri bagi meneruskan kembara kebaikan Kindness Malaysia. Pukul 7.30 pagi kami mula bergerak meninggalkan hotel berjalan ke Terminal Bas Amanjaya. Cuaca pagi ini sangat nyaman, tidak terlalu panas dan tidak pula hujan. Sementara menunggu bas, sempat kami bersarapan disebuah kedai di Terminal Bas Amanjaya sambil melakukan aktiviti  taja makanan meja sebelah. Mereka yang bertuah ditaja sarapan sangat terkejut dan mengucapkan terima kasih kepada kami. Bas kami ke Pulau Pinang pukul 9 pagi. Selepas mendapatkan tiket bas, kami mencari sarapan yang sesuai kepada pakcik yang akan memandu bas kami nanti dengan harapan pakcik tidak mengantuk semasa memandu dan sampai ke destinasi dengan selamat.

Kami di Terminal Bas Amanjaya Ipoh

Nota yang akan diberikan kepada mereka yang akan dibelanja sarapannya


Antara yang bertuah ditaja sarapan pagi

makanan dan minuman untuk pemandu bas

Kami tiba di Butterworth pada pukul 11.30 pagi,  terus mencari tiket bas  ke Alor Setar untuk sebelah petang nanti. Selesai membeli tiket, kami terus bergerak menaiki feri. Sepanjang perjalanan ke feri, sekiranya terserempak dengan mesin air, kami akan meninggalkan beberapa keping RM1 dan nota. Kepada yang ingin membeli air di mesin air boleh menggunakan duit tersebut. Perjalanan menaiki feri merentasi laut yang sangat mengasyikkan dan terasa nyaman. Tibanya di jeti kami terus meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Padang Kota Lama. Berjalan kaki merentasi bandar Georgetown yang masih mengekalkan bangunan lama sangat memukau pandangan kami. Bandar Georgetown sangat menitikberatkan penjagaan kebersihan alam sekitar. Penduduk dan pelancong digalakkan untuk menggunakan basikal sebagai kenderaan untuk bergerak dari satu kesatu destinasi yang lain. Ketibaan kami di Padang Kota Lama di sambut oleh Projek Koordinator Penang, En Rasselan. Beliau membawa kami makan mee sotong yang terkenal di Pulau Pinang, sebelum kami meneruskan perjalanan ke padang kota untuk misi kebaikan di sana.

Alhamdulillah dapat beli tiket ke Alor Setar

Tunggu feri di Butterworth

Basikal di Bandar Georgetown untuk kegunaan orang ramai 

Berjalan di sekitar Bandar Georgetown

Projek seringgit di mesin air

Kelazatan mee sotong dan ais kacang 

Sesampainya kami di kawasan tepi pantai Padang Kota, persekitaran masih lagi tidak ramai pengunjung. Kami berehat sebentar dan memikirkan aktiviti kebaikan yang sesuai dilakukan disana. Kami merancang untuk memberikan aiskrim secara percuma kepada pengunjung terutama kanak-kanak dan projek RM1 di kawasan sekitar. Terpancar kegembiraan di wajah kanak-kanak yang dapat menikmati aiskrim. Terdapat juga ibu bapa yang pelik dengan tindakan kami yang memberikan aiskrim percuma, namun, selepas diterangkan oleh salah seorang sukarelawan mereka turut menyokong misi kebaikan kami. Moga menjadi inspirasi kepada mereka untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja. Sebelum memulakan perjalanan pulang ke jeti, kami singgah sebentar di Masjid Kapitan Keling untuk menunaikan solat. Kami sempat meninggalkan gayung di Masjid ini sebagai wakaf untuk kegunaan orang ramai.

Projek seringgit di sekitar Padang Kota Lama

Ais krim percuma untuk semua
Berehat sambil menghirup udara segar
Bergambar dengan pelancong Canada


Projek Wakaf gayung di Masjid


Selesai solat, kami hanya ada masa 15 minit sahaja untuk sampai ke jeti untuk menaiki feri pada pukul 4 petang. Kami memilih untuk menaiki beca bagi mempercepatkan perjalanan dan dapat menambah pendapatan pakcik-pakcik beca pada hari tersebut. Pakcik beca sangat peramah, sambil mengayuh basikal, sambil bercerita mengenai Pulau Pinang dan kehidupannya. Sampai di jeti kami membayar RM15 kepada pakcik beca dan terus bergerak ke feri. Alhamdulillah, sempat kami mengejar feri untuk perjalanan pukul 4 petang. Melangkah sahaja masuk ke dalam feri, mata kami tertangkap kepada sticker Kindness pada cermin belakang sebuah kereta Myvi. Kami cuba menarik perhatian pemandu kereta dengan kehadiran kami di dalam feri tersebut. Macam-macam gaya di cuba tetapi tetap tidak dapat menarik perhatian pemandu kereta. Akhirnya kami mengalah dan terus mengetuk cermin pintu kereta dan memberitahu kami dari Kindness Malaysia. Rupa-rupanya, pemandu kereta tersebut telah mengikuti perkembangan Kindness Malaysia melalui instagram dan facebook bahawa kami berada di Pulau Pinang. Sampai sahaja di jeti Butterworth, kami terus mencari bas yang akan membawa kami ke Alor Setar. Kami terlena sepanjang perjalanan ke Alor Setar akibat keletihan.


Singgah solat di Masjid Kapitan Keling

Pengalaman pertama kali naik beca


Terserempak dengan sukarelawan yang pernah sertai program feed the homeless

Perjalan ke Alor Setar mengambil masa selama satu jam 40 minit, kami tiba di Terminal Bas Shahab Perdana pada pukul 6.30 petang. Ketibaan kami disambut oleh para sukarelawan dari Kedah. Kami sempat minum petang di kedai berhampiran sebelum bergerak ke Rumah AOR. Kami telah di jemput untuk memberikan perkongsian mengenai Kindness Malaysia di sana. Rumah AOR merupakan sebuah kafeteria yang menjual makanan-makanan barat dan juga produk tempatan. Perkongsian telah diberikan oleh En Muhammad (pengasas Kindness Malaysia), En. Riduan (pengerusi Kindness Malaysia) dan juga En. Azrul (Timbalan Pengerusi 1 Kindness Malaysia). Pelbagai persoalan mengenai Kindness Malaysia telah dikongsi dalam perkongsian tersebut. Semoga mereka yang mendengar perkongsian mendapat input yang berguna mengenai Kindness Malaysia. Setelah selesai perkongsian di Rumah AOR, kami bergerak ke tempat yang akan kami bermalam iaitu Kamar Backpakers. Penginapan kali ini sesuai untuk kumpulan backpack seperti kami. Bilik berkonsepkan dorm yang menyediakan katil dua tingkat. Kemudahan seperti bilik air dan ruang makan turut disediakan. Kami berehat sebentar sebelum bergerak ke lokasi program 'feed the homeless'. Lokasi terletak di perhentian bas berhadapan dengan pekan rabu Alor Setar. Sebanyak 30 set roti dan air yang akan diedarkan kepada gelandangan sekitar Alor Setar. Seramai lebih kurang 20 orang sukarelawan termasuk sukarelawan daripada kedah terlibat untuk mengedarkan makanan. Program bermula pada jam 12 tengah malam dan selesai pada jam 1.30 pagi. Selesai sahaja program kami semua pulang berehat bagi memulihkan kembali tenaga untuk aktiviti keesokan harinya.

Bersama sukarelawan Kedah di Rumah AOR

Perkongsian mengenai Kindness Malaysia 

Antara yang hadir mendengar perkongsian dengan Kindness Malaysia

Sempat buat projek seringgit di Rumah AOR

Lokasi penginapan di Kedah

Pemandangan waktu malam di Bandar Alor Setar

Kemudahan katil yang selesa sesuai untuk program backpack

Hari Ketiga

Pagi di Alor Setar sangat menyegarkan dengan udara yang sangat nyaman. Sarapan pagi telah siap dibeli oleh salah seorang sukarelawan, roti canai dan teh o suam. Niat untuk menikmati Nasi Lemak Royale ditangguhkan sebentar kerana sarapan di taja oleh sukarelawan yang baik hati. Kami bersiap dan mula berjalan dari tempat penginapan ke kedai Nasi Lemak Royale. Kami tidak akan melepaskan peluang untuk merasa keenakan nasi lemak yang menjadi bualan orang ramai. Bak kata orang, bukan selalu boleh sampai Alor Setar. Setelah selesai menikmati nasi lemak, kami berjalan pulang untuk berehat sebentar dan bersiap-siap untuk pulang. Sebelum pulang kami sekali lagi dibawa ke kedai yang menjual ais kacang dan laksa yang sedap untuk lapik perut sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.  Setelah selesai makan dan solat kami menunggu bas yang dijangka akan bertolak pada jam 3 petang. Ucapan terima kasih kepada sukarelawan Kedah yang banyak membantu kami selama kami berada di Kedah. Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kami rehat melelapkan mata. Sampai di Terminal Bas Duta pada jam 9 malam, dan kami pulang ke rumah masing-masing.

Kemudahan meja makan di Kamar Backpakers


Menikmati Nasi Lemak Royale

Tunggu bas untuk pulang ke Kuala Lumpur

Perjalan pulang, bas yang sangat selesa

Alhamdulillah, pengalaman yang penuh bermakna dan penuh dengan pengajaran. Kami berharap agar setiap aktiviti kebaikan yang telah dilakukan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus menyebarkan kebaikan. Kebaikan boleh dilakukan tanpa mengira kaum, agama dan taraf kehidupan. Terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat moga mendapat manfaat dan berkat daripada-Nya. Jutaan terima kasih juga kepada dermawan yang telah menaja projek backpack edisi utara kali ini. Moga dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Semoga diberikan kesempatan untuk menyebarkan kebaikan di negeri-negeri lain pula. Insya ALLAH.

Projek Backpack dapat liputan di Harian Metro pada 31 Januari 2017.

Kindness Malaysia di Harian Metro

Perkongsian kebaikan dalam Harian Metro

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

2 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...