About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Monday, April 17, 2017

PASAR PERCUMA Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang “BAYAR DENGAN SENYUMAN”



Pada 9 April 2017 bersamaan hari Ahad yang lepas, Kindness Malaysia telah mengadakan Pasar Percuma dengan kerjasama di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE dan Balai Polis Senawang. Lokasi yang dipilih adalah di SMKSE. Pasar Percuma ini telah mencipta sejarah sebagai projek yang terbesar dan pertama dianjurkan oleh mana-mana sekolah di Negeri Sembilan.

Kehadiran diluar jangkaan memeriahkan suasana di mana lebih 2000 pengunjung yang merupakan pelajar, ibu-bapa pelajar serta masyarakat setempat tiba seawal jam 7.30 pagi di Dewan Seri Delima, SMKSE. Acara jual beli di pasar percuma ini dimulakan lebih awal pada jam 8.30 pagi.

Tema bagi Pasar Percuma SMKSE ialah “bayar dengan senyuman” di mana transaksi jualan dan belian hanya dilakukan dengan sebuah senyuman dan pembeli boleh memilih apa sahaja barangan atau perkhidmatan yang ada secara percuma. Suasana pasar percuma pada hari tersebut cukup meriah dan dipenuhi dengan senyuman dan keceriaan.

Seramai 40 tenaga sukarelawan Kindness Malaysia dibantu lebih 100 pelajar SMKSE serta guru menjayakan program yang terbesar melibatkan masyarakat setempat di sekolah ini.

Kasut terpakai yang disumbang

Tuan Haji Omar bin Ahmad (Pengetua SMKSE) berkata sebanyak 300 Family Kit berupa barangan dapur asas disediakan pihak sekolah kepada keluarga pelajar kategori asnaf berdasarkan rekod sekolah  telah berjaya diserahkan sepanjang program dilaksanakan. Beliau menambah, program yang dijalankan berdasarkan modul Kindness School oleh Kindness Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar dan guru-guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Sekaligus, menambah keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah dan tenaga pengajarnya.

Sayuran. Antara barangan yang diberi secara percuma

Sebanyak 80 syarikat korporat, jabatan kerajaan dan individu persendirian yang turut sama menyumbang pelbagai barangan baru dan terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya dalam menjayakan penganjuran Pasar Percuma ini.

Antara peserta bertuah mendapat basikal yang disumbang Balai Polis Senawang

Uniknya Pasar Percuma kali ini, pelbagai barangan keperluan orang sakit seperti kerusi roda dan tongkat akan diserahkan oleh pihak sekolah kepada tempat yang memerlukan seperti hospital dan keluarga pelajar yang memerlukan secara terus.

  Gunting rambut percuma untuk semua


Selain itu, pelbagai buku rujukan tingkatan 1 sehingga 5 yang disumbangkan seacra percuma oleh pelajar Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut habis diambil pengunjung terutamanya pelajar tingkatan 5 yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pasar percuma berakhir sekitar jam 1 tengah hari. Ternyata semua yang terlibat sepanjang program ini amat berpuas hati dan  lega kerana dapat menyempurnakan projek penuh bermakna ini. Semoga semua yang terlibat dan masyarakat sekeliling dapat mengambil segala bentuk pengajaran positif hasil dari program seperti ini. 

Konsep memberi secara ikhlas, percuma dan sedekah kepada yang memerlukan ini sekurang-kurangnya dapat diterap dari awal dalam diri anak-anak muda dan masyarakat sekeliling. 

Terima kasih para penganjur, para penyumbang yang budiman dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Pasar Percuma kali ini. Semoga mendapat manfaat kepada semua. 

Disediakan oleh : 
Muhammad Adam bin Ahmad 
Setiausaha Kehormat 
Kindenss Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...