About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, June 21, 2017

Projek Taja Mereka bersama Anak-anak PPR Kerinchi

Alhamdulillah. Ramdhan berjalan dengan lancarnya selancar Projek Taja Mereka kami pada tahun ini di mana pada 16 Jun 2017 bersamaan 21 Ramadhan 1438H, Kindness Malaysia telah menyantuni anak-anak PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Projek Taja Mereka kali ini adalah dengan kerjsama penuh Projek Ihsan. Seramai lebih 30 orang anak-anak yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan penuh diraikan. Mereka juga merupakan anak-anak dari keluraga yang daif.

Aktiviti dimulakan seawal jam 7 petang di mana pihak catering telah bersipa sedia dengan juadah berbuka. Petang yang nyaman pada hari itu diiringi hujan renyai-renyai membuatkan adik-adik di sini tidak sabar untuk berbuka.

Sesi ramah mesra bersama mereka juga sempat diadakan. Seramai 7 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan lebih 10 orang tenaga pengajar di bawah Projek Ihsan menghadiri buka puasa pada hari itu.

Sukarelawan beramah mesra dengan adik Qistina

Menu berbuka puasa adalah nasi beriyani, ayam masak merah, dalca timun serta nenas dan air sirap selain kuih-muih yang sangat enak. Ketika azan berkumandang, kami semua berbuka dengan kurma yang terhidang bersama anak-anak di sini. Cukup ramah dan baik hati mereka melayan kami. Adik-adik di sini memanggil kami dengan panggilan cikgu. Agak kekok juga menerima panggilan tersebut.

Bacaan doa sebelum berbuka

Selesai berbuka, kami menunaikan solat maghrib bersama-sama. Seterusnya, kami diberi sedikit ilmu menyelami hati anak-anak di sini dengan sesi pengajaran yang cukup santai. Teruja kami dengan para pengajar di sini dan kami dapat merasakan kemeriahan anak-anak ini apabila menjalani sesi pembelajaran bersama guru-guru kesayangan mereka. Gelak tawa mereka memeriahkan Projek Taja Mereka kami pada hari itu.  

Seronok adik-adik dapat menikmati juadah berbuka

Acara wajib selepas solat adalah pemberian duit raya. Adik-adik berbaris setelah menerima arahan dari guru mereka. Jelas terpancar keseronokan di wajah mereka apabila menerima duit raya. Tenaga pengajar Projek Ihsan juga diberi kejutan dengan pemberian duit raya.

Duit raya diberi oleh sukarelawan




Tenaga pengajar juga diberi duit raya

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Terima kasih adik-adik PPR Kerinchi dan tenaga pengajar Projek Ihsan yang sudi melayan kami dengan baik sekali. Terima kasih juga para penaja budiman yang menyumbang kepada kelangsungan projek Taja Mereka untuk anak-anak di sini. Tidak dilupakan, para sukrelawan yang terlibat sepanjang program berlangsung.

Senyuman mereka buat kami gembira

Semoga projek seperti ini dapat memberi inspirasi kepada semua untuk terus mencemar kebaikan dan semoga mendapat manfaat buat semua terutama anak-anak PPR Kerinchi. Didoakan semoga usaha murni Projek Ihsan memberi pendidikan percuma kepada anak-anak yang kurang berkemampuan ini diberkati dan dipermudahkan segala urusan.

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Friday, June 16, 2017

Projek Kurma Untuk Mereka yang Tidak Sempat Berbuka Puasa di Rumah



Setiap tahun Kindness Malaysia akan kembali dengan Projek Kurma di bulan Ramadan. Projek Kurma ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai yang dalam perjalanan pulang dan tidak sempat berbuka di rumah. "Ramai yang terpaksa berbuka puasa dalam kereta atau dalam pengangkutan awam, itu sebabnya kami berikan mereka kurma. Mudah untuk mereka berbuka ringan dahulu." kata Fatin Amira Nabila selaku projek koordinator Projek Kurma.

Kurma Mariami menjadi pilihan

Kurma Mariami dipilih kerana kurma ini kering, enak dan paling penting boleh tahan lama. Pemilihan jenis kurma juga penting kerana di bulan Ramadan ini, setiap perbuatan kebaikan perlulah yang terbaik. Jika ada penaja lebih, satu hari nanti kita akan gunakan kurma Medjoul atau kurma Ajwa, menurut Fatin lagi. Lebih 40 kg kurma diagihkan kepada orang ramai bermula jam 6.30 petang di sekitar Masjid Jamek. Seramai 16 orang sukarelawan dari pelbagai latar belakang turut serta untuk agihkan kurma kepada orang ramai secara percuma.

Menurut Fatin lagi, pada mulanya orang ramai agak sukar untuk menerima kurma percuma ini kerana mereka sangkakan ini hanya gimik pemasaran. Ramai yang menolak untuk tidak menerima kurma percuma. Tetapi selepas menukar strategi dengan ucapan selamat berbuka dengan senyuman, orang ramai mula mengambil kurma percuma ini. Dalam tempoh 30 minit semua kurma telah diagihkan terus kepada orang ramai.

Sambutan orang ramai menggalakkan

Projek Kurma dilakukan di sekitar Masjid Jamek

Sukarelawan dari Camaroon juga turut serta

Penjelasan dibuat agar orang ramai faham

Kurma untuk semua
Projek Kurma tahun ini tiada tajaan daripada pihak korporat, tetapi ini tidak menghalang Kindness Malaysia untuk meneruskan tradisi Projek Kurma di bulan puasa. Tajaan untuk Projek Kurma ini mendapat perhatian penderma individu yang telah menaja keseluruhan kos Projek Kurma termasuk hidangan berbuka puasa untuk semua sukarelawan. Itulah keajaiban melakukan kebaikan. Kita berikan kurma percuma kepada orang ramai, ada pula dermawan yang baik hati menaja kami semua berbuka puasa di KFC.
Semua sukarelawan yang terlibat dengan Projek Kurma

Selain Projek Kurma, Kindness Malaysia juga menjalankan aktiviti lain seperti Projek TajaMereka dan Projek Petrol. Projek TajaMereka adalah aktiviti menaja mereka yang kurang berkemampuan berbuka puasa dan pada masa yang sama berbuka puasa sekali dengan mereka. Projek Petrol edisi khas bulan Ramadan ini akan memberi minyak petrol secara percuma kepada semua penunggang motorsikal bercc rendah. Dan minyak RON97 akan menjadi pilihan.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Kindness Malaysia, boleh layari media sosial Kindness Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter. Bagi yang ingin menaja atau jadi sukarelawan, boleh hantarkan mesej di media sosial atau email ke support@kindness.my.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Sunday, June 11, 2017

Majlis Berbuka Puasa Kindness Malaysia 2017


Pada hari Khamis, 8 Jun 2017 bersamaan 13 Ramadhan 1438H,  Kindness Malaysia telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa sempena meraikan bulan yang mulia ini. Lokasi berbuka adalah di Restoren Thai Serai, Sentul, Kuala Lumpur. Seramai 55 orang sukarelawan termasuk ahli keluarga dan anak-anak keluarga besar Kindnes Malaysia telah memeriahkan majlis tersebut.

Para sukarelawan tiba seawal jam 6.00 petang di restoren tersebut. Rata-rata mereka terus ke lokasi berbuka dari tempat bekerja masing-masing. Para sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur yang berbeza dan dari pelbagai generasi dari seawal tahun 2013 lagi. Ada yang masih bergelar pelajar, freelance dan kebanyakannya telahpun bekerja dan berkeluarga. Namun mereka ke sini, dengan satu tiket yang sama iaitu "sukarelawan Kindness Malaysia." 

Sembang santai dan bergambar sebelum berbuka

Meriah sesi ramah santai bersama rakan-rakan sukarelawan sementara menunggu waktu berbuka. Kebanyakan mereka sudah lama tidak berjumpa, jadi inilah masanya untuk mereka mengeratkan kembali silaturrahim secara bertentang mata. 

Dari jauh, kami melihat juadah berbuka sedang disediakan oleh pihak restoren. Tak sabar rasanya untuk menikmati juadah yang cukup enak. Sementara menunggu waktu berbuka, sukarelawan bergilir-gilir mengambil makanan untuk berbuka. 

Siap sedia mengambil juadah berbuka

Masa yang ditunggu telahpun tiba. Tepat jam 7.24 petang, bacaan doa berbuka dimulakan oleh Pengerusi Kindness Malaysia, saudara Noriduan.  Juadah yang disediakan adalah nasi beriyani, nasi putih, nasi impit, butter prawn, tomyam seafood, ikan sambal, daging masak merah, ayam lada hitam, ikan keli, meehun, kangkung belacan, mango sticky rice, french fries, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis minuman selain kuih-muih yang cukup menyelerakan. Kami semua amat mensyukuri nikmat rezeki yang ada pada hari itu. Alhamdulillah. 

Sambil makan sambil bergambar


Anak-anak kecil penceria majlis

Tanpa dilupakan perkara wajib, kami berhenti makan seketika dan berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk solat fardhu Maghrib. Selesai solat, kami menyambung semula sesi santapan dengan menikmati juadah ringan seperti pulut mangga, kek dan ais krim selain chicken wing yang baru sahaja dimasak.

Menyambung sesi makan selepas solat

Acara selingan iaitu cabutan bertuah juga sempat diadakan. Tahniah kepada semua yang bertuah.

Salah seorang penerima cabutan bertuah

Mug sebagai hadiah kepada penerima cabutan bertuah 

Acara kemuncak adalah pemberian duit raya dari penderma yang budiman. Dimulakan dengan anak-anak kecil dan diikuti para sukarelawan. Kami berbaris menerima duit raya. Terkejut dan seronok juga kerana mendapat duit raya walaupun kami bukan lagi berada di zaman kanak-kanak. Sesekali, restoren ini ada memasang lagu-lagu raya sebagai penambah ceria majlis berbuka kami.

Adik-adik kecil beratur untuk menerima duit raya

Bergambar dengan sampul raya Kindness Malaysia

Yeay! Kami dapat angpau raya!

Acara penutup pada malam itu adalah sesi bergambar. Tak lengkaplah sesebuah majlis tanpa sesi fotografi. Meriah suasana di restoren dengan gelagat anak-anak kecil dan rakan-rakan sukarelawan yang ternyata gembira dapat berkumpul pada hari itu.

3 orang sukarelawan yang terdiri daripada 3 generasi berbeza 

Para sukarelawan yang terlibat

Majlis berbuka puasa ini berakhir pada jam 9.00 malam. Ramadhan sememangnya memberi rahmat kepada kita semua di mana acara berkumpul sebegini dapat merapatkan silaturrahim sedia ada selain saling bermaaf-maafan sesama sukarelawan. Ramah mesra sesama rakan-rakan secara berdepan dan lebih dekat dapat dipupuk dengan adanya majlis seperti ini memandangkan kebanyakan dari kita di zaman serba canggih ini  kerap menjadikan laman sosial sebagai platform utama untuk berkomunikasi. Kita juga dapat berkongsi rezeki dengan semua selain dapat berjemaah menunaikan solat di masjid. Tanpa kita sedar, sedikit sebanyak inspirasi kebaikan dapat disebarkan sepanjang majlis berlangsung.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Didoakan semoga para pemberi duit raya dan semua yang menyumbang kepada kelancaran majlis ini agar dimurahkan rezeki selalu. Terima kasih pihak Restoren Thai Serai yang menyediakan juadah yang enak dan semua dari jauh dan dekat yang menyokong penuh sambutan majlis berbuka puasa kali ini. Semoga kita terus istiqomah menyebarkan kebaikan kepada semua. 

Salam Ramadhan Kareem.

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...