About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Tuesday, March 20, 2018

Mesyuarat Futsal Piala Kindness 2018


Keberjayaan sesebuah program yang dirancang adalah impian setiap persatuan dan mana-mana organisasi termasuklah di Kindness Malaysia sendiri. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan impian dan harapan semua orang termasuklah VVIP iaitu anak-anak asnaf yang akan diraikan di Kejohanan Futsal Piala Kindness pada 1hb April 2018 nanti, maka satu mesyuarat telah diadakan pada hari Ahad, 18 Mac 2018 di Medan Idaman, Kuala Lumpur. 

Kehadiran seramai 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada rakan-rakan NGO dari Projek Empire, Komuniti Pandan Prihatin, Kelas Kaseh, Projek Ihsan dan Kindness Malaysia sendiri. Misi utama mesyuarat kali ini adalah untuk memberi gambaran sebenar bagaimana kejohanan futsal ini dilaksanakan sebelum dan semasa hari kejadian.

Pengurus pasukan bersama rakan NGO dari Kelas Kaseh dan Projek Ihsan

Mesyuarat bermula pada jam 11.00 pagi dengan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir. Mesyuarat dimulakan dengan penerangan mengenai aturcara di kejohanan futsal ini nanti. Perbincangan difokuskan kepada agihan tugasan yang dibahagikan kepada bahagian logistik, makanan, game koordinator, usherer, pendaftaran, tajaan, keselamatan, kebajikan, sukarelawan dan pelbagai tugasan lain. Setiap tugasan ini akan diketuai oleh seorang atau dua orang sukarelawan dari Kindness Malaysia dengan gabungan puluhan sukarelawan daripada rakan NGO yang terlibat yang telah mengesahkan kerjasama seperti Institut Pertubuhan Baitulmal, Gerakan Sukarelawan Malaysia serta Kelab Penyokong Chelsea Soljabiru selaku game koordinator.

Penerangan ringkas aturcara event dan format perlawanan

Seterusnya penerangan mengenai format perlawanan juga didedahkan di dalam mesyuarat ini oleh saudara Shahrizal selaku game koordinator dari Kelab Penyokong Chelsea Soljabiru. Cukup ringkas, padat dan santai penerangan yang diberi membuatkan kami semua mudah faham dan seakan tidak sabar menunggu hari kejohanan.

Perkongsian oleh saudari Erin Ratna selaku orang lama yang berpengalaman dalam Kejohanan futsal Piala Kindness juga sedikit sebanyak dapat memberikan kami gambaran awal tentang kedudukan pentas semasa hari kejadian serta hal-hal yang melibatkan kerja-kerja sukarelawan.

Haziq Sazali selaku event coordinator bertindak memastikan keseluruhan program akan berjalan lancar

Dari segi hal tajaan dan makanan, kami masih memerlukan tajaan makanan dan minuman untuk lebih 700 anak-anak asnaf semasa kejohanan ini nanti. Makanan dan minuman yang disediakan adalah berkonsepkan free flow dan diberikan kepada mereka dari pagi sehingga kejohanan selesai sekitar jam 5.00 petang. Kami telah sebulat suara menempatkan satu sudut khas di lokasi futsal tersebut dengan nama "Food Island". Hal-hal melibatkan kebersihan semasa kejohanan dan fotographer selain yang melibatkan media juga turut dibincangkan dalam mesyuarat selama 2 jam ini.

Rakan NGO dari Projek Empire, Komuniti Pandan Prihatin dan Projek Ihsan turut serta dalam mesyuarat selain pengurus pasukan Madrasah Hashimiah

Tumpuan penuh juga diberi kepada setiap sudut bagi memastikan aturcara berjalan lancar lebih baik dari dua tahun lepas. Kejohanan yang cukup sinonim di kalangan anak-anak asnaf ini sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka setiap dua tahun dan kini telah memasuki edisi yang ketiga. Oleh itu, pelbagai hal dari seluruh aspek harus diambil kira bagi menastikan kejohanan ini berjalan dengan baik dan lancar.


Ketua unit bahagian makanan fokus mengambil input penting semasa mesyuarat sambil diperhatikan oleh Ketua unit bahagian logistik

Selingan pendapat, sokongan, cadangan dan bantahan kami kongsikan bersama semasa mesyuarat ini. Gelak tawa dari ahli mesyuarat yang hadir sedikit sebanyak mencuit hati kami. Sebagai insan biasa, kami juga rasa berdebar walaupun kejohanan futsal ini telah memasuki edisi yang ketiga. Maklumlah, kami berdepan dengan pelbagai watak yang berbeza setiap dua tahun tetapi kami yakin gabungan tenaga serta perahan idea watak-watak yang berbeza daripada semua pihak inilah yang bakal melengkapkan kejohanan penuh gilang-gemilng ini nanti. Alhamdulillah mesyuarat santai ini dapat mengurangkan sedikit debaran kami sebelum tibanya hari yang dinantikan pada 1 April nanti.

Antara ahli mesyuarat yag hadir

Gambaran awal mengenai kejohanan telah dapat kami bayangkan. Dengan izinNya, mesyuarat ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Banyak input berguna yang diterima oleh kami semua. Terima kasih semua yang meluangkan masa hadir ke mesyuarat ini. Kepada yang tidak dapat hadir, pihak Kindness Malaysia akan mengemaskini dan memaklumkan apa jua perkembangan berkenaan Futsal Piala Kindness dari masa ke semasa. Persiapan kini sedang memasuki peringkat akhir. Hebahan besar-besaran sedang kami lakukan demi memastikan info berkenaan Futsal Piala Kindness sampai kepada semua yang terlibat.

Semoga dengan kerjasama semua pihak, dapatlah kita menjayakan dan menggembirakan anak-anak ini nanti. Diharapkan nila-nilai kebaikan dapat kita serapkan di kejohanan ini nanti dan di mana jua tidak kira masa dan tempat malah kepada sesiapa jua. Marilah kita semua bekerja keras demi kelancaran kejohanan  futsal besar-besaran ini nanti.

#RoadToFutsalKindnessCup2018

Projek Koordinator
Shahrizal Shawal
Kindness Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...